PKP di Sabah: Operasi kedai makan dilanjut sehingga 8 malam

PKP di Sabah: Operasi kedai makan dilanjut sehingga 8 malam

Terdahulu, operasi perniagaan dihadkan sehingga 6 petang dan kelonggaran itu membolehkan pengusaha meneruskan perniagaan khususnya untuk berbuka puasa.

Masidi berkata, kelonggaran itu menyaksikan peniaga makanan antaranya pengusaha gerai, restoran dan kedai makan dapat menjalankan operasi mereka bermula 6 pagi hingga 8 malam.
KOTA KINABALU:
Kerajaan Sabah memberi kelonggaran tambahan dua jam beroperasi bagi peniaga makanan di lokaliti yang dikenakan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Masidi Manjun.

Jurucakap kerajaan negeri mengenai Covid-19 itu berkata kelonggaran tersebut menyaksikan peniaga makanan antaranya pengusaha gerai, restoran dan kedai makan dapat menjalankan operasi mereka bermula 6 pagi hingga 8 malam.

“Sebelum ini, operasi perniagaan dihadkan sehingga 6 petang dan kelonggaran ini membolehkan pengusaha meneruskan perniagaan khususnya untuk berbuka puasa… kelonggaran ini berkuat kuasa hari ini,” menurutnya dalam kenyataan, semalam.

Beliau juga berkata satu kluster baharu Covid-19 direkodkan hari ini iaitu Kluster Dambai Inanam dengan jumlah kumulatif kes positif 19 orang dan kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis pertunangan di Kampung Dambai di Mukim Kionsom.

“Kes ini melibatkan komuniti di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Inanam dan Kuala Penyu… kluster bertambah parah apabila seorang daripada individu dijangkiti di Kuala Penyu adalah guru yang kemudian menjangkiti dua murid dalam kelas jagaannya,” katanya.

Masidi juga berkata Sabah mencatat 132 kes baharu Covid-19 hari ini dengan empat daerah merekodkan jumlah tertinggi ialah Tawau (65 kes), Sandakan (19), Kota Kinabalu (16) dan Lahad Datu (13).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.