Melaka benar operasi bazar Aidilfitri hingga 2 pagi

Melaka benar operasi bazar Aidilfitri hingga 2 pagi

Ketua Menteri Melaka, Sulaiman Md Ali mengingatkan penganjur, peniaga dan pengunjung agar mematuhi SOP dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Jumaat lepas membenarkan bazar Aidilfitri di seluruh negara beroperasi hingga pukul 2 pagi berbanding 12 tengah malam sebelum ini.
MELAKA:
Kerajaan negeri Melaka hari ini memberi lampu hijau kepada peniaga bazar Aidilfitri untuk beroperasi hingga pukul 2 pagi bermula hari ini.

Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali ketika mengumumkan perkara tersebut bagaimanapun mengingatkan penganjur, peniaga dan pengunjung agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha bersama mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata perkara itu diputuskan kerajaan negeri hasil keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jumaat lepas, yang kini membenarkan bazar Aidilfitri di seluruh negara beroperasi hingga pukul 2 pagi berbanding 12 tengah malam, berkuat kuasa semalam.

Sulaiman berkata, ketetapan waktu operasi itu juga bergantung kepada keputusan MKN dari semasa ke semasa berdasarkan jumlah penularan kes baharu.

“Jadi ia boleh dibatalkan pada bila-bila masa jika didapati pelanggaran pematuhan SOP atau kes meningkat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bazar Ramadan Mega 2021 di Tapak Dataran MITC malam tadi.

Mengakui khuatir dengan kebenaran penambahan waktu operasi bazar Aidilfitri, Sulaiman menggesa semua pihak mematuhi SOP pada setiap masa memandangkan jumlah kes di Melaka semakin meningkat.

“Bukan saja di bazar (Aidilfitri), tetapi juga di pasar Ramadan kerana saya tidak mahu apa yang berlaku di sesetengah negeri yang terpaksa membatalkan penganjuran akibat peningkatan kes, berlaku juga di Melaka.

“Sebab itu saya tekankan agar penganjur, peniaga dan pengunjung sentiasa menitikberatkan SOP,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.