Covid-19: Bas tak ‘jalan’, setiap hari cuma panas enjin, kata pemandu

Covid-19: Bas tak ‘jalan’, setiap hari cuma panas enjin, kata pemandu

Pemandu bas persiaran, Mohd Faiz Yusuf, kini membantu isterinya berniaga kuih-muih secara kecil-kecilan.

Menurut Mohd Faiz Yusuf, 29, masih ramai pemandu bas yang senasib dengannya, baik bas kilang mahupun bas sekolah.
NIBONG TEBAL:
Pelbagai pekerjaan dilakukan pengusaha dan pemandu bas di negeri ini bagi memastikan kelangsungan hidup dan dapur mereka “berasap” susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak lebih setahun lalu akibat pandemik Covid-19

Antaranya pemandu bas persiaran, Mohd Faiz Yusuf, 29, yang kini membantu isteri berniaga kuih-muih secara kecil-kecilan di tepi jalan berdekatan rumah mereka.

“Saya telah memandu bas selama lima tahun, namun sekarang ini apa sahaja kerja yang kami boleh buat, kami buat demi sesuap nasi.

“Sekarang memang bas tidak berjalan (beroperasi) langsung, setiap hari saya cuma panaskan enjin bas,” katanya, menurut laporan Bernama.

Faiz ditemui selepas menerima bantuan daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM).

Katanya, dia dan isteri mula berniaga kuih-muih pada sebelah pagi.

“Sekarang di bulan Ramadan, kami ambil kesempatan berniaga di bazar”.

Menurutnya, masih ramai pemandu bas yang senasib dengannya, baik bas kilang mahupun bas sekolah.

Sementara itu, Pengarah YADIM Pulau Pinang Mohd Afifi Ruslan, berkata pihaknya menerima surat daripada Gabungan Pengusaha Bas Persiaran Zon Utara yang memohon bantuan demi meringankan beban pengusaha dan pemandu bas.

Katanya, sumbangan barang keperluan asas itu disampaikan dalam tiga sesi iaitu hari ini dan seterusnya pada 2 dan 5 Mei ini bagi mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan kerajaan.

“Kita memberikan bantuan kepada 100 orang penerima. Hari ini, cuma 30 orang sahaja yang menerima bantuan manakala selebihnya akan menerima bantuan pada sesi berikutnya,” katanya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.