
Bekas menteri kewangan itu berkata, kegagalan kerajaan mewujudkan peluang pekerjaan pasti menjadi punca ia tidak meneruskan pelaksanaan usia pengundi baharu 18 tahun sebelum Julai.
Lim berkata, beliau menjangkakan pilihan raya umum (PRU15) akan diadakan awal tahun depan, berdasarkan keputusan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) untuk membenarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan Undi-18 sehingga selepas 2022.
“Pada masa itu, mereka yang berumur antara 18 hingga 20 tahun tidak akan dapat mengundi dan dengan itu tidak dapat memberi tekanan kepada kerajaan untuk memberi komitmen secara serius dalam mewujudkan lebih banyak pekerjaan.
“Ini mungkin apa yang cuba dielak oleh Kerajaan PN daripada berlaku dan sebab itu membenarkan penangguhan Undi-18,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan Menteri Ekonomi Mustapa Mohamed enggan mempertahankan upah minimum RM1,200 walaupun jumlah kurang daripada itu adalah tidak sah mengikut undang-undang selain melanggar hak asasi pekerja.
Awal bulan ini, Jabatan Perangkaan melaporkan kadar pengangguran negara bagi golongan berusia 15 hingga 24 tahun meningkat 0.4% kepada 13.9% pada Februari, merangkumi 347,600 orang.
Ini adalah peningkatan 52,400 berbanding 295,300 pada Januari tahun ini.