Tindakan polis terhadap Fahmi Reza melampau, kata HAKAM

Tindakan polis terhadap Fahmi Reza melampau, kata HAKAM

Kumpulan hak asasi itu berkata kandungan berkenaan dalam ‘playlist’ Spotify bererti tidak sepatutnya dia ditahan sekadar untuk memastikan perkara itu.

Presiden HAKAM Gurdial Singh Nijar menyifatkan penahanan Fahmi Reza sebagai tidak wajar.
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan hak asasi mempertikaikan tindakan pihak berkuasa menahan artis grafik Fahmi Reza kerana “playlist” di Spotify yang didakwa menghina Raja Pemaisuri Agong.

Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia Malaysia (HAKAM) Gurdial Singh Nijar, berkata kesalahan didakwa dilakukan bawah Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia sudah jelas dapat dilihat dalam hantaran “playlist” itu.

“Adakah perlu untuk penangkapan semata-mata bagi memastikan kandungan hantaran itu? Polis boleh memanggilnya (Fahmi) untuk disoal pada waktu pejabat jika memerlukan apa-apa.

“Tindakan polis ini seolah-olah melampau dan mencetuskan kemarahan orang ramai yang melihatnya sebagai hukuman pramatang terhadap Fahmi dengan menahannya dalam lokap polis,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, anggota polis memecah masuk ke rumah Fahmi dan menahan artis grafik itu bagi siasatan bawah Akta Hasutan. Polis memohon perintah reman empat hari, namun mahkamah hanya membenarkannya ditahan sehari dan mengarahkannya dibebaskan 5 petang hari ini.

Sementara itu, Gurdial juga berkata Akta Komunikasi dan Multimedia bertujuan mempromosikan penggunaan maklumat multimedia, bukannya mengekang kebebasan bersuara.

“Tindakan menahan Fahmi adalah bertentangan dengan objektif akta itu, atau setidak-tidaknya langkah yang tidak wajar dan tidak setara (dengan perbuatan).

“Fahmi sekadar mengongsikan satira mengenai komen yang kini sedang popular,” katanya.

Katanya, Fahmi sebelum ini turut didakwa kerana memuat naik lukisan badut menyerupai Najib Razak. Tuduhan itu ditarik balik selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran.

Fahmi turut didenda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2018 berhubung satu lagi tuduhan, juga berkaitan dengan badut menyerupai Najib.

Dalam pada itu, DAP turut menggesa Fahmi dibebaskan segera dan tanpa syarat, dengan veteran parti, Lim Kit Siang menyifatkan Malaysia semakin dibelenggu penindasan dan fahaman autoritarian terutama jika dilihat cara penangkapan dilaksanakan terhadap Fahmi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dipetik Bernama berkata, pihaknya tidak akan mencampuri siasatan terhadap aktivis itu sebaliknya menyerahkan kepada kebijaksanaan polis melakukan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.