Polis cekup lelaki miliki 15 permit pergerakan PKPB palsu

Polis cekup lelaki miliki 15 permit pergerakan PKPB palsu

Lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan anggota unit kereta peronda yang melakukan rondaan cegah jenayah pada 6.10 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar, berkata hasil pemeriksaan polis menemui 15 keping dokumen permit pergerakan PKPB yang mempunyai cop dan tanda tangan balai polis, disyaki dipalsukan dalam kenderaan suspek. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki ditahan selepas polis menemui 15 keping dokumen permit pergerakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), disyaki palsu dalam pemeriksaan di Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur, hari ini.

Lelaki tempatan berusia 35 tahun itu ditahan anggota unit kereta peronda (MPV) yang melakukan rondaan cegah jenayah di lebuh raya berkenaan kerana memandu dalam keadaan mencurigakan, pada 6.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar, berkata hasil pemeriksaan polis menemui 15 keping dokumen permit pergerakan PKPB yang mempunyai cop dan tanda tangan balai polis, disyaki dipalsukan dalam kenderaan suspek.

“Siasatan masih dijalankan mengenai kegunaan dokumen palsu itu sama ada untuk kegunaan sendiri atau dijual kepada pihak yang berminat.

“Suspek direman empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021,” katanya, menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, tindakan memalsukan permit pergerakan PKPB atas tujuan bertentangan dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Sebarang maklumat berhubung kes itu boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03 22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03 21159999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.