
Bercakap kepada FMT, Santiago berkata, perkara itu berada di bawah bidang kuasa Menteri Sumber Manusia M Saravanan dan beliau harus campur tangan.
“Beliau sebahagian daripada kerajaan dan isu berkaitan pekerjaan ini perlu ditanganinya,” katanya.
Januari lepas, Tharani memfailkan saman terhadap syarikat tempat beliau bekerja berhubung upah kerja lebih masa yang tidak dibayar dengan Mahkamah Buruh membuat keputusan yang berpihak kepadanya.
Syarikat bagaimanapun memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.
Dilaporkan pertikaian yang berlaku menyebabkan Tharani berdepan tekanan yang teruk sehingga berasa mahu membunuh diri.
Selepas berjumpa pakar psikologi, beliau diberitahu supaya mengambil cuti sakit selama lapan hari.
Tharani mendakwa, pada Januari, pengurusnya memaksa beliau memotong rambut dan memakai pakaian lelaki semasa bekerja.
Beliau mendakwa, pegawai atasan juga membuli pekerja transgender yang lain.
Santiago mengakui beliau tidak pasti sama ada isu pertikaian mengenai upah atau dakwaan gangguan menyebabkan Tharani berasa tertekan, tetapi berkata, tiada alasan yang membenarkan kedua-duanya daripada berlaku.
Beliau berkata, syarikat hendaklah menyelesaikan isu bayaran kerja lebih masa di luar mahkamah sekiranya dakwaan Tharani sah, dengan menambah bahawa ia (syarikat) akan membelanjakan lebih banyak wang jika pergi ke mahkamah.
“Masalah upah yang dihadapi Tharani adalah isu yang dihadapi ramai pekerja tidak formal dan sambilan,” katanya.
“Mereka pada dasarnya tidak mempunyai hak dan sesetengah mereka tidak ada kontrak.
“Jika dia ditekan kerana merupakan seorang transgender, maka ia adalah gangguan seksual. Tiada peraturan yang menetapkan anda tidak boleh menjadi seorang transgender di tempat kerja.
“Identiti seksual adalah isu peribadi. Majikan tidak berhak menentukannya.
“Undang-undang pekerjaan terpakai ke atas semua orang. Ia tidak menyebut lelaki atau wanita semata-mata. Ia menyebut pekerja, jadi semua orang terlibat.
FMT telah menghubungi majikan terbabit dan tidak mendedahkan nama syarikat sehingga mendapat ulasan mereka.