
Daging ayam adalah paling laris di negara ini dan purata setiap rakyat Malaysia makan 50.9kg daging ayam setiap tahun. Oleh itu, kenaikan harga ayam sememangnya satu isu besar.
Perkembangan terbaharu harga ayam dilapor melonjak daripada RM7.50 sekilogram kepada antara RM9 ke RM10 sekilogram.
FMT meninjau faktor yang mempunyai kesan terhadap harga dan apa yang boleh dilakukan untuk menangani masalah kenaikan harga.
Menurut seorang penternak yang enggan dinamakan, faktor utama ialah kenaikan kos pengeluaran.
Baru-baru ini, harga tinggi jagung, kacang soya dan minyak sawit mentah, semuanya bahan utama untuk membuat dedak, dilihat sebagai sebab utama harga ayam naik.
Menurut penternak itu, sejak kebelakangan ini harga jagung yang diimport naik 41.5% manakala kacang soya pula 57.6% dan minyak sawit mentah 43.3%.
“Ini soalan yang kerap ditanya ramai. Mengapa tidak bahan makanan lebih murah digunakan sebagai makanan ternakan? Jawapannya kacang soya dan jagung adalah makanan berkhasiat untuk ternakan.
“Makanan berkualiti rendah menjejaskan tumbesaran dan pertumbuhan ayam, bermakna tempoh lebih lama diperlukan untuk ayam membesar ke saiz dan berat sesuai untuk jualan.”
Satu lagi kos pengeluaran ialah buruh atau tenaga kerja, dan ini terkesan akibat ramai pekerja asing pulang ke negara masing-masing dan kekosongan penternak yang ditinggalkan sukar diisi.
“Apabila tidak ramai pekerja, mereka yang masih ada ini terpaksa kerja lebih masa dan ini meningkatkan kos”.
Katanya, pindaan ke atas Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja juga menyumbang kepada kenaikan kos memandangkan penternak kini mula terpaksa melabur untuk penginapan.
Kemudahan perumahan mesti berada di luar ladang, katanya, sambil menambah, ini bermaksud wujud pula kos tambahan untuk pengangkutan.
Kawalan harga
Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011) membolehkan kerajaan mengawal harga untuk menjaga kepentingan pengguna terhadap kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang tidak munasabah.
Skim mengawal harga musim perayaan menetapkan harga barang keperluan termasuk ayam pada musim perayaan Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali, Christmas, Kaamatan dan Gawai.
Pakar ekonomi Carmelo Ferlito berkata mengawal harga adalah “bahaya” kerana ini boleh mendorong pengeluar mengurangkan pengeluaran jika kos mereka lebih tinggi daripada harga jualan.
“Membiarkan kuasa pasaran untuk menentukan harga masih cara terbaik mengawal harga kerana bila harga tinggi, ini akan memberi isyarat kepada pengeluar untuk meningkatkan bekalan and ini akan membawa ke arah penurunan harga.”
Menurut Ferlito, negara boleh meningkatkan import ayam untuk menambah bekalan dan mengurangkan harga.
Ketua Pegawai Operasi Fomca, T Saravanan berkata kerajaan boleh mengeluarkan lebih banyak permit untuk import ayam.
Beliau berkata, cara itu dapat mengurangkan harga, terutama apabila permintaan tinggi dan bekalan terhad.
Bekas perdana menteri Najib Razak berkata kerajaan seharusnya menaikkan cukai durian runtuh sebanyak 3% hingga 5% kerana ia tidak mempunyai impak besar ke atas keuntungan pengeluar minyak sawit di negara ini.
“Pendapatan dari cukai durian runtuh itu boleh digunakan sebagai subsidi makanan ternakan untuk turunkan harga ayam selagi harga komoditi kekal tinggi,” katanya.
Penternak yang bercakap dengan FMT berkata ini tidak bermaksud harga akan turun kerana peningkatan kos berlaku bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.
“Kita tidak boleh lari daripada harga tinggi. Bila kos meningkat harga akan meningkat”.
Apa kata pihak berkuasa ?
“Pasukan penguatkuasa kami akan memantau keadaan. Ini untuk menjaga kepentingan pengguna,” kata menteri perdagangan dan hal ehwal pengguna Alexander Nanta Linggi.
“Kenyataan yang dibuat oleh timbalan saya Rosol Wahid adalah sekiranya ada keperluan kerajaan perlu mengeluarkan AP untuk ayam diimport untuk menampung permintaan tempatan, tetapi buat masa ini ia tidak perlu,” katanya dalam satu sidang media pada 20 April.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Ronald Kiandee: “Kita tidak menghasilkan jagung yang cukup untuk digunakan sebagai makanan haiwan. Kalau ia diimport, kita tidak boleh kawal harganya.”