
Presidennya, Dave Ananth berkata kira-kira lebih 65,000 orang Islam di New Zealand iaitu meliputi 1% jumlah penduduknya.
Dalam tempoh sembilan tahun, angka itu dijangka meningkat melebihi 100,000, kata peguam cukai bersama Stace Hammond Lawyers itu.

Stace Hammond ialah sekretariat NZMBA yang kini menawarkan perkhidmatan kepada komuniti Islam di New Zealand untuk memenuhi keperluan mereka.
“Apabila populasi orang Islam bertambah, keperluan untuk produk berasaskan shariah juga berkembang,” katanya kepada FMT.
“Stace Hammond kini sedang meneliti pembiayaan shariah untuk membantu komuniti Islam. Juga, kerja yang kita lakukan sekarang adalah pro bono, untuk menolong dan membantu.
“Kami percaya dapat membantu komuniti etnik minoriti di NZ,” katanya, menjelaskan etos Stace Hammond.
Menurut Ananth, syarikat Malaysia boleh menceburi pasaran halal New Zealand dengan mudah berdasarkan hubungan dua hala kedua negara itu selama 60 tahun.
Malaysia ialah rakan dagang kesepuluh terbesar New Zealand dengan nilai tahunan perdagangan dua hala hampir NZ$3 bilion (RM8.9 bilion) dan kedua negara mempunyai perjanjian perdagangan bebas selain perjanjian cukai bertujuan mengelak cukai berganda.
Satu lagi faktor menarik buat syarikat Malaysia, terutama yang menyasarkan orang Islam, ialah New Zealand dinamakan sebagai negara yang memenuhi tuntutan Islamik untuk dua tahun berturut-turut.
Ananth berkata pandemik Covid-19 menjadikan tindakan memanfaatkan pasaran halal New Zealand sebagai sesuatu yang wajar.
Katanya, semua orang mencari tempat paling selamat susulan penularan wabak dan New Zealand adalah tempatnya sekarang, sambil menambah menjadi destinasi selamat untuk pelaburan berdasarkan hak hartanah yang kuat, kebolehan mengawal sempadan dan pertumbuhan ekonomi.
Negara itu juga menawarkan peluang untuk mempelbagaikan aset sebenar dalam ekonomi yang menghasilkan jumlah besar makanan dan barangan perkayuan untuk Oceania dan Asia.
“Sehingga kini, tiada negara di dunia yang mencatat kejayaan menentang pandemik Covid selain New Zealand. Ekonominya terbuka dan sedang pulih dengan kuat.”
Ananth juga mendedahkan persatuan itu sebelum ini mengusahakan satu hub halal di Nilai, Negeri Sembilan yang akan mendorong pembukaan satu ladang halal di New Zealand.
Namun, ia tidak menjadi kenyataan berikutan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. NZMBA mengalu-alukan pelaburan dari Malaysia yang mahu meneroka produk halal di New Zealand.
“Ia memalukan kerana kami semua sudah bersedia untuk jalankan perniagaan. Malaysia bersedia menjadi ‘hab halal’ di rantau ini sekiranya ia mempunyai orang yang betul bersedia melakukan pekerjaan itu.
“Kedua-dua negara, Malaysia dan New Zealand, mempunyai potensi besar untuk bekerjasama.
“New Zealand terbuka untuk perniagaan dan bebas Covid, masuk dan runding dengan kami. Mari kita beralih dari malapetaka dan kesedihan wabak ini kerana sekarang kita sudah ada vaksin.
“Saya selalu berpegang kepada ‘cakap mesti serupa bikin’. Membina keyakinan perniagaan dan terus maju bersama Malaysia.”