Lebihan langganan Sukuk Kelestarian bukti negara di landasan pertumbuhan mampan, kata PM

Lebihan langganan Sukuk Kelestarian bukti negara di landasan pertumbuhan mampan, kata PM

Terbitan Sukuk Kelestarian Malaysia mencatatkan lebihan langganan 6.4 kali baru-baru ini.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, penerbitan Sukuk Kelestarian meletakkan negara di landasan pembangunan lebih lestari, mampan, berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Terbitan Sukuk Kelestarian Malaysia yang mencatatkan langganan 6.4 kali baru-baru ini membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat dalam pengurusan ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan kukuh, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, ini jelas mencerminkan keyakinan pelabur dan keyakinan pasaran terhadap pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun kerajaan berdepan dengan cabaran getir akibat pandemik Covid-19 dalam tempoh setahun lepas.

Khamis lepas, kerajaan Malaysia berjaya menetapkan harga Sukuk Kelestarian berdaulat pertama di dunia dalam dolar Amerika Syarikat menerusi terbitan bertempoh matang 10-tahun berjumlah USD800 juta dan sukuk bertempoh matang 30-tahun USD500 juta dengan pengagihan menyeluruh dari Asia hingga ke Amerika Syarikat (AS).

“Kejayaan kerajaan Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dolar AS dengan jumlah nilai USD1.3 bilion itu adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali, saiz terbitan asal dinaikkan daripada USD1.0 bilion kepada USD1.3 bilion.

Berdasarkan permintaan yang menggalakkan, kerajaan juga berjaya menetapkan harga yang kompetitif bagi sukuk tersebut.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan agensi yang terlibat seperti Bank Negara Malaysia, yang bekerjasama menjayakan pemasaran dan terbitan Sukuk Kelestarian yang unik dan unggul dari sudut inovasi instrumen kewangan Islam,” kata Muhyiddin.

Perdana menteri berkata, beliau yakin ini juga akan terus menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global.

“Sukuk Kelestarian ini akan terus meletakkan kita di landasan pembangunan yang lebih lestari, mampan, berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.