KPDNHEP tingkat operasi penguatkuasaan barang tiruan

KPDNHEP tingkat operasi penguatkuasaan barang tiruan

Operasi dan pemeriksaan penjualan barangan tiruan bukan sahaja tertumpu di kawasan perniagaan murah malah butik tidak dikecualikan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata operasi akan dibuat di semua peringkat termasuk pembekal dan penjual. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Operasi penguatkuasaan penjualan barangan tiruan akan dipertingkat sepanjang musim perayaan ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan bagi kesalahan itu tetap dilakukan meskipun ketika ini operasi pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 giat dilaksanakan.

Rosol berkata operasi dan pemeriksaan kesalahan menjual barangan tiruan bukan sahaja tertumpu di kawasan perniagaan borong serta murah seperti di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Jalan Petaling, malah butik juga akan diperiksa.

“Operasi juga akan dibuat di semua peringkat termasuk pembekal dan penjual berdasarkan maklumat risikan serta aduan orang awam.

Rosol Wahid.

“Misalnya, kita dapati ada butik menjual barangan tiruan mengikut harga produk asli dan ini adalah satu kesalahan kerana menipu pengguna,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Advokasi Pengguna Bijak #ShoppingstreetJalanTAR hari ini.

Mengulas program itu, beliau berkata Jalan TAR dipilih kerana ia menjadi lokasi tumpuan atau ‘syurga membeli-belah’ bagi masyarakat tempatan khususnya apabila tiba musim perayaan.

Katanya program itu sekali gus dapat mengetengah serta mempromosikan lagi kepelbagaian produk dan barangan yang dijual di Jalan TAR.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.