Dakwa pemimpin kluster mahkamah ‘binatang politik’, Bersatu tak perlu ambil tindakan, kata Faiz

Dakwa pemimpin kluster mahkamah ‘binatang politik’, Bersatu tak perlu ambil tindakan, kata Faiz

Memorandum daripada pemimpin Umno sekadar gimik dan retorik individu yang memanipulasi isu untuk menonjolkan diri menjelang pemilihan parti itu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman berkata, beliau mempertahankan ungkapan yang digunakannya sebelum ini, iaitu pemimpin kluster mahkamah merupakan ‘binatang politik’.
PETALING JAYA:
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman, berkata tiada keperluan untuk pucuk pimpinan parti itu menyiasat dan mengambil tindakan ke atas dirinya susulan kenyataan menyifatkan pemimpin daripada kluster mahkamah sebagai “binatang politik”.

Katanya, memorandum yang dihantar oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Armand Azha Abu Hanifah supaya beliau dikenakan tindakan oleh Bersatu hanyalah gimik dan retorik individu yang cuba memanipulasi isu tersebut untuk menonjolkan diri menjelang pemilihan parti itu.

“Tiada keperluan untuk pihak kepimpinan parti menyiasat memorandum itu kerana ternyata saya tidak melanggar disiplin parti atau undang-undang negara.

“Memorandum itu sekadar gimik dan retorik pihak yang memanipulasi isu untuk menonjolkan diri menjelang pemilihan parti mereka yang dijangka sudah dekat.

“Tiada keperluan untuk menasihati saya dalam isu ini kerana saya menjalankan peranan membidas musuh parti sama ada di luar atau di dalam kerajaan seperti ‘kluster mahkamah’ itu,” katanya kepada FMT.

Kluster mahkamah lazimnya merujuk kepada pemimpin Umno, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan pendakwaan di mahkamah.

Khamis lalu, Arman menghantar memorandum kepada Bersatu mendesak pucuk pimpinan parti itu mengambil tindakan tegas terhadap Faiz yang mendakwa pemimpin “kluster mahkamah” sebagai “binatang politik” yang dilihat secara jelas ditujukan kepada beberapa pemimpin Umno.

“Kita minta kepimpinan Bersatu mengambil tindakan jika mereka hormati sokongan yang diberikan oleh Umno.

“Kalau tiada tindakan bermakna mereka tidak hormati sokongan Umno kepada kerajaan PN,” kata Arman, selain mendakwa Faiz cuba membuat pusingan U dengan menafikan kenyataan “binatang politik” itu ditujukan kepada pemimpin Umno.

Mengulas lanjut, Faiz turut menolak dakwaan Arman bahawa beliau membuat pusingan U dalam kenyataannya, selain menegaskan beliau mempertahankan ungkapan yang digunakannya sebelum ini, iaitu pemimpin kluster mahkamah merupakan “binatang politik”.

“Bila pula saya pusingan U? Saya tidak nafi kluster mahkamah itu ‘binatang politik’ sebab mereka ‘gila politik’ hentam kerajan sendiri waktu negara dilanda Covid-19.

“Jika saya salah sila dakwa saya di mahkamah, jangan putar belit kenyataan saya. Tidak semua akar umbi Umno ‘pro kluster mahkamah’.

“Saya tidak sebut nama individu dan parti apabila menyebut istilah kluster mahkamah. Tapi saya tak nafikan pandangan umum bahawa istilah itu dikaitkan dengan kelompok tertentu dalam Umno sekarang,” katanya.

Beliau juga mempertahankan laporan polis yang dibuatnya terhadap Arman kerana menyiarkan tangkap layar hantaran di Twitter dengan memaparkan nombor telefon miliknya secara terbuka.

“Cuba periksa laman Facebook rasmi saya, di mana ada tertera nombor telefon bimbit saya? Ini semua alasan dan fitnah,” katanya bagi menjawab penjelasan Arman bahawa nombor telefon yang tersebar itu diambil di Facebook beliau.

Sebelum ini Faiz dilaporkan berkata, selain ancaman Covid-19, “kluster mahkamah” adalah “binatang politik” yang mempergunakan ketuanan Melayu untuk kepentingan peribadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.