Vaksin Covid-19 Vero Cell dapat kelulusan bersyarat

Vaksin Covid-19 Vero Cell dapat kelulusan bersyarat

Vaksin ini dihasilkan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd, menurut Dr Noor Hisham Abdullah.

Produk vaksin Vero Cell ini dihasilkan menerusi pengilangan produk pukal kepada produk siap yang pertama kali dilaksanakan di negara ini. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi produk vaksin Vero Cell Inactivated untuk kegunaan semasa bencana.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin yang digunakan bagi tujuan suntikan itu dihasilkan Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS).

“(Produk vaksin itu) dihasilkan menerusi pengilangan produk pukal kepada produk siap, yang pertama kali dilaksanakan di negara ini,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, kelulusan bersyarat ini memerlukan Pharmaniaga LifeScience mengemukakan data-data tambahan dan terkini produk vaksin tersebut dari semasa ke semasa

“Ini bagi memastikan keberkesanan dan keselamatannya sentiasa dikemas kini dan perbandingan manfaat-risiko vaksin ini kekal positif.”

Pada 26 Jan lalu, Kementerian Kesihatan yang mewakili kerajaan Malaysia menandatangani dokumen “Terms Sheet” dengan dua syarikat pembekal vaksin iaitu syarikat PLS dan Duopharma (M) Sdn Bhd.

Dokumen yang ditandatangani itu adalah bagi perolehan sebanyak 18.4 juta dos vaksin bagi 28.75% daripada populasi Malaysia.

PLS akan membekalkan sebanyak 12 juta dos Vero Cell Inactivated yang dihasilkan oleh syarikat dari China, Sinovac Life Science Co Ltd.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, pembekalan vaksin itu dijangka dilaksanakan secara berperingkat-peringkat mulai bulan ini.

Duopharma pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia.

Pada 2 April lalu, PBKD bersetuju meluluskan pendaftaran secara bersyarat bagi produk vaksin keluaran AstraZeneca untuk kegunaan semasa bencana.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.