Murid cedera, dakwa dipukul guru gara-gara tak siap kerja sekolah

Murid cedera, dakwa dipukul guru gara-gara tak siap kerja sekolah

Ibu mangsa mendapati terdapat kecederaan pada badan dan muka anaknya ketika menjemput pulang dari sekolah.

Pelajar Tahun 3 sebuah sekolah di Alor Setar cedera dakwa dipukul guru akibat gagal menyiapkan kerja sekolah.
PETALING JAYA:
Seorang murid di sebuah sekolah di Alor Setar, Kedah, yang cedera pada muka dan badan, mendakwa dipukul guru sekolahnya akibat gagal menyiapkan kerja sekolah.

Berikutan itu, ibu mangsa membuat laporan di Balai Polis Alor Setar petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan itu dan berkata murid lelaki Tahun Tiga terbabit dipercayai mengalami kecederaan pada lengan dan jari kiri serta muka.

“Berdasarkan laporan itu, ibu mangsa mendapati terdapat kecederaan pada badan dan muka anaknya ketika menjemput anaknya pulang dari sekolah.”

“Mangsa memaklumkan bahawa gurunya memukulnya menggunakan pembaris kerana tidak menyiapkan kerja sekolah,” katanya dalam kenyataan, menurut laporan Harian Metro.

Ahmad Shukri berkata, proses siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, ibu mangsa memuat naik gambar di Facebook menunjukkan beberapa kesan kecederaan pada anggota badan anaknya hingga tular di media sosial.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.