
Mangsa, A Sharvin Ananth, 23, dan R Goobi, 23, difahamkan ke air terjun itu bersama sembilan lagi rakan mereka untuk beriadah.
Ketua Polis Daerah Kuantan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kedua-dua mangsa dikhuatiri lemas selepas tidak muncul di permukaan air semasa mandi, menyebabkan rakan mereka menghubungi talian kecemasan pada 1.45 tengah hari.
“Mayat Sharvin Ananth yang beralamat di Skudai, Johor, bagaimanapun ditemukan pihak bomba sekitar 3.13 petang, disusuli mayat Goobi dari Karak, Bentong, kira-kira setengah jam kemudian,” kata beliau, menurut laporan Bernama.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata mayat kedua-dua mangsa ditemukan di dasar air terjun yang dianggarkan sedalam 3m di lokasi terakhir mereka dilihat.
Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi proses bedah siasat.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa melibatkan 20 pegawai dan anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas dan Kuantan.