Perolehan industri aeroangkasa dijangka pulih tahun depan, kata Azmin

Perolehan industri aeroangkasa dijangka pulih tahun depan, kata Azmin

Industri aeroangkasa diunjur mencatat prestasi perolehan seperti sebelum berlakunya pandemik Covid-19 seawal tahun depan.

Menteri Kanan Mohamed Azmin Ali berkata, pandemik Covid-19 menjejaskan industri aeroangkasa negara dengan perolehan keseluruhan merosot 20 hingga 30% pada 2020 berbanding perolehan ssebanyak RM16.22 bilion pada 2019.
KUALA LUMPUR:
Industri aeroangkasa diunjurkan pulih dan mencatatkan semula prestasi perolehan seperti sebelum berlakunya pandemik Covid-19 seawal tahun depan, kata Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata unjuran itu boleh dicapai sekiranya Malaysia terus memanfaatkan pakej kerja baharu yang memberi impak positif kepada keseluruhan ekosistem melalui penyetempatan produk.

“Pemulihan akan dipercepat jika industri dapat memperluas lagi perkhidmatan kargo udara, penerbangan perniagaan serta penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), di samping perkhidmatan latihan profesional,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada webinar Airbus Malaysia Connect hari ini.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 menjejaskan industri aeroangkasa Malaysia dengan perolehan keseluruhan merosot 20 hingga 30% pada 2020 daripada perolehan RM16.22 bilion pada 2019.

Azmin berkata, penerbangan komersial merupakan subsektor paling terjejas berikutan penutupan sempadan antarabangsa dan perintah kawalan pergerakan (PKP) domestik dengan pembuatan aeroangkasa dan perniagaan MRO mengalami pesanan tertunda dan perkhidmatan penyelenggaraan yang tinggi.

“Kebanyakan aktiviti pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa terhenti sementara, manakala sebahagian pekerja diberhentikan atau diberikan cuti sementara berikutan larangan perjalanan di seluruh dunia, selain pesawat komersial dan perniagaan tidak beroperasi.

“Memandangkan pembuat pesawat mengurangkan kadar pengeluaran buat sementara waktu untuk menyesuaikan operasi dengan persekitaran pasaran yang mengalami penyusutan, saya ingin memaklumkan bahawa ada kalangan mereka yang berada dalam ekosistem rantai bekalan memanfaatkan kelembapan permintaan untuk mengatur semula kewangan dalam pembangunan kemampuan dan teknologi baharu,” katanya.

Dalam melangkah maju, beliau menggesa komuniti aeroangkasa untuk terus menyesuaikan operasi mereka dan bersedia dengan apa sahaja yang mendatang.

“Ketika kita bergerak maju bagi merebut peluang baharu, amat penting untuk kerajaan dan pihak industri bekerjasama secara strategik untuk menjadikan sektor ekonomi penting ini kembali kukuh dan melonjak ke tahap pencapaian dan kecemerlangan baharu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.