Pastikan pekerja asing ditahan dalam serbuan dibayar gaji, kata MTUC

Pastikan pekerja asing ditahan dalam serbuan dibayar gaji, kata MTUC

MTUC berkata, Jabatan Imigresen dan Tenaga Kerja perlu memastikan pekerja asing itu mendapat gaji, cuti tahunan dan manfaat lain yang dihutang kepada mereka.

(Dari kiri) Mohd Effendy Abdul Ghani, Kamarul Baharin Mansor dan Setiausaha Kewangan MTUC Raveendra Kumar Mallan meneliti dokumen pada akhir forum dua hari mengenai hak pekerja asing dan gaji minimum.
SHAH ALAM:
Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mahu Jabatan Imigresen dan Tenaga Kerja bekerjasama mewujudkan mekanisme untuk memastikan pekerja asing yang ditahan dalam serbuan – tidak kira berdokumen atau tidak – dibayar gaji yang dihutang kepada mereka.

Setiausaha agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, MTUC juga mahu melihat mekanisme sama dilaksanakan sebelum pekerja asing pulang ke negara asal selepas tamat kontrak.

Beliau menceritakan serbuan di sebuah tapak pembinaan di Kuala Lumpur pada awal bulan ini, yang menyaksikan 269 pekerja asing tanpa izin ditahan pihak berkuasa Imigresen.

Kamarul berkata, sukar untuk menyangkal persepsi orang ramai yang majikan itu memaklumkan pihak berkuasa mengenai pekerja sendiri bagi mengelak membayar gaji mereka.

“Jika mereka ditahan di tapak pembinaan, itu bermakna mereka sedang bekerja. Anda tidak boleh menafikannya.

“Jabatan Imigresen dan Tenaga Kerja perlu mewujudkan mekanisme untuk menyaring pekerja ini bagi memastikan mereka mendapat gaji, cuti tahunan atau manfaat lain yang dihutang kepada mereka.

“Ini patut dilaksanakan sebelum pekerja itu pulang ke negara asal juga. Ketika ini, majikan hanya perlu meminta kebenaran Imigresen supaya pekerja mereka pulang selepas tamat kontrak.

“Kami mencadangkan dokumen ini dihantar ke Jabatan Tenaga kerja supaya mereka boleh periksa jika pekerja ini dihutang sebarang gaji.

“Buat masa ini, tiada sistem sedemikian,” kata beliau kepada FMT selepas forum dua hari mengenai hak pekerja asing dan gaji minimum di sebuah hotel di sini.

Sementara itu, Timbalan Presiden MTUC Mohd Effendy Abdul Ghani mendedahkan satu insiden yang berlaku baru-baru ini apabila seorang pekerja Indonesia dihantar pulang ke negara asal tanpa dibayar gaji tunggakannya selepas kontraknya tamat.

Kata beliau, majikan itu berjanji akan membayar baki gaji pekerja itu selepas beliau tiba di Indonesia.

“Dalam kes ini, majikan itu mengambil kesempatan ke atas pekerja itu dan menipunya kira-kira RM9,000.

“Bagaimana pekerja itu mahu ambil tindakan? Beliau sudah berada di Indonesia.”

Effendy berkata, MTUC bercadang menyediakan tempat tinggal kepada pekerja asing yang menjadi mangsa buruh paksa dan penderaan.

Kini, terdapat sembilan pusat sedemikian yang dikendalikan kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).

Effendy berkata, MTUC baru-baru ini dimaklumkan bahawa 17 pengawal keselamatan warga Nepal di Kuala Lumpur membuat laporan polis terhadap majikan mereka atas dakwaan tidak membayar gaji sejak enam bulan lalu – dan mereka diusir dari asrama mereka selepas pulang dari kerja.

“Kami menerima banyak kes sebegini sebelum ini, tetapi pekerja biasanya takut untuk tampil (dengan dakwaan terhadap majikan).

“Dengan adanya inisiatif ini, kami berharap lebih ramai pekerja asing akan datang kepada kami kerana kami mempunyai tempat tinggal dan makanan untuk mereka,” kata beliau, sambil menambah, MTUC juga akan menanggung kos undang-undang sekiranya pekerja itu mahu membawa kes mereka ke mahkamah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.