Isu seleweng balak Yayasan Negeri Sembilan tak ‘disejuk beku’, kata SPRM

Isu seleweng balak Yayasan Negeri Sembilan tak ‘disejuk beku’, kata SPRM

Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Mohamad Zakkuan Talib, berkata pihaknya sudah membuka satu kertas siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak melibatkan YNS.

Pengarah SPRM Negeri Sembilan Mohamad Zakkuan Talib berkata, kertas siasatan sudah dibuka bagi menyiasat dakwaan berkenaan isu itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan pihaknya tidak meneruskan siasatan atau “menyejuk beku” isu salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak melibatkan Yayasan Negeri Sembilan (YNS).

Pengarah SPRM Negeri Sembilan Mohamad Zakkuan Talib berkata, pihaknya sudah membuka kertas siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan konsesi balak melibatkan YNS.

“Siasatan lanjut berhubung isu berkenaan masih berjalan dan SPRM Negeri Sembilan bukan sahaja menyiasat isu konsesi balak di kawasan Lenggeng bahkan turut menyiasat keseluruhan kawasan konsesi balak melibatkan YNS sejak 2014 lagi,” kata beliau, menurut laporan Utusan Malaysia.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan dakwaan artikel seorang penulis blog bertajuk “Pencegah Rasuah Pun Bapak Rasuah” yang disiarkan hari ini dan menyenaraikan 20 perkara utama antaranya membabitkan unsur rasuah serta salah guna kuasa individu tertentu termasuk dakwaan siasatan kes balak YNS telah “disejukbekukan” oleh SPRM.

Sehubungan itu, Zakkuan menggesa mana-mana pihak menghentikan sebarang spekulasi dan menyebarkan berita palsu berhubung perkara itu sebagaimana disiarkan dalam blog dan akaun Facebook baru-baru ini.

“Bagi isu konsesi balak YNS ini, siasatan awal mendapati konsesi balak yang diberikan kepada yayasan berkenaan telah bermula sejak 2014 dengan kuota sebanyak 2,500 hektar setiap tahun. Siasatan lanjut masih dijalankan.”

Pada 16 April lalu, kerajaan Negeri Sembilan menyerahkan kepada pihak SPRM bagi menyiasat isu pengeluaran kayu balak di kawasan Lenggeng.

Menteri Besar Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam hal tersebut dan akan sentiasa memberi bekerjasama kepada pihak SPRM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.