Gara-gara pukul isteri kedua, imam didenda RM2,000

Gara-gara pukul isteri kedua, imam didenda RM2,000

Kejadian berlaku di sebuah Maahad Tahfiz di Bera, Pahang pada 19 April lalu.

Tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa di sebuah Maahad Tahfiz di Bera, Pahang pada 19 April lalu. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang imam didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Temerloh selepas mengaku bersalah memukul isteri keduanya.

Tertuduh, Mhd Khusni Selamat, 45, membuat pengakuan itu di depan Majistret Tei Pei Si selepas kertas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Difahamkan, mangsa sudah diceraikan dengan talak tiga selepas tertuduh mengancam untuk menjatuhkan talak sekiranya perbuatannya dilaporkan kepada polis.

Mengikut kertas pertuduhan, kejadian berlaku di Maahad Tahfiz di Felda Bukit Mendi di Bera, Pahang, pada 7.30 malam 19 April lalu.

Tertuduh didapati dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa, menurut laporan Utusan Malaysia.

Susulan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian membayar denda dan dibebaskan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif meminta mahkamah mengenakan hukuman sewajarnya ke atas tertuduh atas faktor kepentingan awam dan keseriusan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.