Guna kad pengenalan palsu, milik orang lain, 8 pengawal keselamatan Filipina dipenjara

Guna kad pengenalan palsu, milik orang lain, 8 pengawal keselamatan Filipina dipenjara

Siasatan JPN mendapati mereka memperoleh kad pengenalan palsu daripada ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk ke Semenanjung untuk bekerja.

Pengarah JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Eris Jemadi Tajudin berkata, mereka memperoleh kad pengenalan berkenaan daripada ejen di Sabah.
PETALING JAYA:
Lapan pengawal keselamatan warga Filipina dipenjara antara dua dan 18 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini selepas mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.

Romi Jakira, Rijan Esnael, Razmie Alim, Sababon Insalon, Ambitun Absarun, Buyong Akalol, Askun Nahilun dan Asmarun Kilong, yang berumur 23 hingga 58 tahun, didakwa di lima mahkamah berasingan, lapor Bernama.

Semuanya diarahkan menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh tangkap.

Sementara itu, Rijan didakwa menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri di Stadium Merdeka, Jalan Stadium di sini pada 12.15 pagi semalam.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Tujuh tertuduh lain didakwa menggunakan kad pengenalan palsu sementara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Stadium Negara di sini antara 1.20 pagi dan 5 petang, semalam.

Tuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang juga membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai-pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Mohd Zakuan Zakaria, Mohd Supian Abdullah dan Mohamad Riduawan Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Menurut Pengarah JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Eris Jemadi Tajudin, tertuduh yang ditahan mengaku berasal dari Filipina, manakala siasatan mendapati mereka memperoleh kad pengenalan palsu daripada ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk ke Semenanjung untuk bekerja.

Kata beliau, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan jabatannya telah menjalankan Operasi Terancang Pemeriksaan Kad Pengenalan di Stadium Merdeka pada Selasa lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.