Dedah rancangan agihan vaksin, kerajaan diberitahu

Dedah rancangan agihan vaksin, kerajaan diberitahu

Antara perincian yang perlu dibuat dalam rancangan tersebut adalah berapa banyak vaksin yang diharap akan diperoleh negara dan bila ia akan diterima, kata Rajiv Rishyakaran.

ADUN DAP Rajiv Rishyakaran mempersoalkan bagaimana bekalan vaksin yang diharapkan pada bulan Jun akan diagihkan dengan cekap.
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu mendedahkan “rancangan pengagihan vaksin” yang memperincikan sasaran vaksinasi harian atau bulanan kepada umum, kata seorang ADUN DAP.

Rajiv Rishyakaran berkata, langkah menjadikan program ini terbuka akan membantu mengatasi kebimbangan masyarakat dan meningkatkan kebertanggungjawaban kerajaan dalam mematuhi jadual Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Saya mendesak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk segera mengeluarkan rancangan pengagihan vaksin,” kata ADUN Bukit Gasing itu.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, rancangan itu perlu memberikan perincian seperti jumlah individu yang akan divaksin setiap hari atau bulan untuk sepanjang tahun ini, berapa banyak vaksin yang diharap akan diperoleh negara dan bila ia akan diterima.

Rajiv turut menyifatkan penafian Khairy Jamaluddin mengenai kelewatan pengagihan vaksinasi sebagai “tidak meyakinkan”.

“Tanpa sasaran yang ditetapkan, mudah untuk mendakwa kita akan mengikut jadual dan fasa tetapi semua yang telah diberikan kepada kita hanya rancangan umum dengan angka yang besar,” katanya.

Khairy, menteri penyelaras program vaksinasi tersebut, sebelum ini berkata kerajaan merancang untuk mengimunisasi sekitar 80% daripada populasi negara pada akhir tahun ini.

Beliau turut berkata, vaksinasi hingga 75,000 orang setiap hari akan menjadi sasaran pertama kerajaan, diikuti 150,000 vaksinasi sehari, bergantung kepada bekalan.

Ketika mengulas berhubung kebimbangan kadar vaksinasi yang perlahan, Khairy berkata, ketidaksetaraan bekalan vaksin berpunca daripada negara maju yang “membolot pasaran vaksin Covid-19”.

Berdasarkan jadual penghantaran daripada pembekal, beliau memberi jaminan bahawa negara akan mula menerima bekalan vaksin yang lebih stabil pada Jun.

“Saya menyasarkan ketika ini vaksinasi besar-besaran sedang berlangsung. Buat masa ini, permintaan melebihi bekalan,” kata beliau.

Mengulas hal ini, Rajiv mempersoalkan bagaimana bekalan vaksin yang stabil pada Jun nanti akan diagihkan dengan cekap.

“Ketika ini tidak ada pengawasan Parlimen dalam proses penting berkait program imunisasi ini. Sekurang-kurangnya atas sebab itu, Khairy perlu bersikap telus dengan masyarakat mengenai rancangan vaksinasi,” kata beliau.

“Kewajipan kerajaan bukan saja untuk memberikan ketenangan fikiran kepada rakyat berhubung ketersediaan bekalan dan pengagihan vaksinasi, tetapi juga untuk menanam keyakinan terhadap pelaburan dan membantu ekonomi pulih.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.