Pengarah Inisiatif Utara-Selatan, Adrian Pereira berkata, pembantu rumah berisiko tinggi didera kerana mereka sering dihadkan berada dalam rumah majikan, dan hanya mempunyai sedikit atau tiada cara berinteraksi dengan orang lain.
Katanya, wakil NGO, kesatuan sekerja dan kedutaan boleh membantu memeriksa keadaan pembantu rumah memandangkan tiada “anggota penguatkuasaan” mencukupi untuk berbuat demikian.
Beliau mengulas kes seorang pembantu rumah warga Indonesia berusia 24 tahun di Sentul, Kuala Lumpur mendakwa tidak dibayar gaji setahun dan dipercayai menjadi mangsa penderaan dua wanita.
Siasatan awal mendapati mangsa cedera dan lebam di muka, kepala, bahu, leher serta kaki dipercayai didera majikannya dan rakan sekerja menggunakan rotan, kayu serta besi kerana membuat kesilapan ketika bekerja.
Dalam jangka panjang, Pereira berkata, satu undang-undang khusus untuk mengawal selia pembantu rumah dan melindungi hak mereka perlu digubal.
“Kita boleh menyalahkan kerajaan atas keadaan hari ini kerana lambat bertindak terhadap masalah ini selama bertahun-tahun. Ia memalukan kerana kita masih tidak dapat menyelesaikan masalah ini ketika berusaha menjadi negara maju.”
Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das berkata organisasinya menerima lebih 30 kes membabitkan pembantu rumah sejak tiga bulan lalu.
“Kebanyakannya kerana tidak dibayar gaji, juga penderaan mental dan emosi. Terdapat juga sejumlah kes penderaan fizikal, termasuk buruh paksa dan hidup dalam keadaan seperti hamba.”
Katanya, penting untuk pihak berkuasa melakukan pemeriksaan mengejut kerana walaupun kes penderaan dilaporkan, campur tangan tidak dilakukan secepat mungkin.