Dakwa dipecat dari syarikat milik ADUN tanpa pengetahuan, pasangan mahu tahu hasil siasatan polis, SSM

Dakwa dipecat dari syarikat milik ADUN tanpa pengetahuan, pasangan mahu tahu hasil siasatan polis, SSM

Pasangan suami isteri dakwa dipecat daripada sebuah syarikat milik ADUN itu tanpa pengetahuan dan persetujuan masing-masing.

KOTA KINABALU: Sepasang suami isteri menuntut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan polis secara telus mengemukakan hasil siasatan terhadap bekas rakan perniagaan yang juga seorang ADUN.

Chan Yee Ling, 43, dan suami kecewa kerana SSM dan polis membisu berhubung aduan terhadap wakil rakyat itu, mendakwa mereka dipecat daripada syarikat dikatakan milik ADUN itu tanpa pengetahuan dan persetujuan masing-masing.

Katanya, syarikat itu melakukan kerja-kerja melombong dan mengorek pasir di daerah Kota Belud. Chan dan suaminya, Henry Chia Chi Tshung, 46, menjadi rakan kongsi perniagaan ADUN itu selepas menerima tawaran daripada wakil rakyat itu untuk membeli 51% saham syarikat berkenaan pada harga RM3.5 juta.

Menurut Chan, mereka meterai perkongsian dalam perniagaan ADUN itu melalui suatu surat persefahaman (letter of understanding atau LOU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada Jun 2018.

Beliau mendakwa ADUN terbabit, selepas menandatangani LOU, meminta “bayaran pendahuluan” daripada RM3.5 juta dalam pembelian saham syarikat, dan berjanji akan melaksanakan perjanjian jual beli saham (share sale agreement atau SSA) dalam tempoh satu bulan dari tarikh LOU ditandatangan.

“Kami akur walaupun dia sering kali menunda pelaksanaan SSA dengan pelbagai alasan,” katanya dalam kenyataan.

“Bagi menenangkan semua pihak, ADUN terbabit melantik suami saya sebagai pengarah syarikat dan saya turut diberikan 10% saham syarikat terbabit.”

Chan mendakwa, selepas peralihan kerajaan pada PRU14, ADUN itu memujuk mereka meninggalkan syarikat.

“Merasakan sesuatu yang tidak kena, saya telah pergi ke SSM pada 6 Mac 2019 untuk melakukan siasatan dan terkejut apabila mendapati kami telah dipecat dari syarikat sebagai pengarah dan 10% saham yang dipegang juga telah dipindahkan kepada orang lain tanpa pengetahuan dan persetujuan kami,” katanya.

Chan berkata aduan berhubung pemecatan itu dibuat kepada SSM pada 8 Mac 2019 dan suatu laporan polis juga dibuat.

Beliau mendakwa, beberapa hari selepas laporan dibuat kepada SSM dan polis, ADUN itu menghantar wakil dikatakan untuk menyelesaikan hal itu namun sehingga ke hari ini tiada perkembangan lanjut.

FMT sedang mendapatkan maklum balas ADUN berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.