Negara bazir bakat, potensi anak muda, kata pemimpin Umno

Negara bazir bakat, potensi anak muda, kata pemimpin Umno

Mohamed Khaled Nordin berkata, negara sepatutnya mempunyai dasar jelas mengenai eksport bakat tempatan.

Khaled Nordin berkata, India ialah contoh baik yang menghantar bakat terbaiknya bekerja di seluruh dunia, dengan berjuta-juta lagi menawarkan perkhidmatan mereka kepada syarikat antarabangsa tanpa perlu berhijrah.
PETALING JAYA:
Seorang naib presiden Umno mahu kerajaan mengatasi masalah pengangguran dalam negara dengan mengingatkan negara sedang membazirkan bakat dan potensi anak muda.

Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia sepatutnya sudah mempunyai dasar jelas dalam mengeksport bakat tempatan.

Beliau memetik India sebagai contoh baik menghantar bakat terbaiknya bekerja di seluruh dunia, sementara berjuta-juta lagi menawarkan perkhidmatan mereka kepada syarikat antarabangsa tanpa perlu berhijrah.

Filipina juga, kata Khaled, berbuat demikian sehingga Manila terpaksa mengeluarkan moratorium bagi menghalang jururawat dan pekerja kesihatannya meninggalkan negara semasa pandemik Covid-19.

Katanya, pelbagai syarikat “unicorn”, iaitu perniagaan bernilai USD1 bilion (RM4.1 bilion) atau lebih, berlumba-lumba mengambil bakat dari Eropah Timur untuk bekerja dengan mereka.

“Malangnya, Malaysia terus bersikap ‘slowbalisation’, tanpa strategi dan mengambil pendekatan mudah dengan membiarkan pasaran menentukan harga upah bakat tempatan,” kata bekas menteri pengajian tinggi itu dalam kenyataan.

“Graduan kita wajar mempunyai ‘dignified start (permulaan bermaruah)’ untuk kerjaya mereka. Potensi yang ada pada mereka perlu dibongkar dengan upah setimpal. Hanya upah setimpal dan lebih baik akan memberikan impetus untuk kerja keras, kegigihan dan idea serta kreativiti terbaik.”

Khaled berkata, data Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan sekurang-kurangnya 10% graduan mendapat gaji bulanan RM1,001 hingga RM1,500 sejak 10 tahun lalu.

Tinjauan kementerian itu juga menunjukkan 22.3% graduan berada dalam kategori sama tahun lalu.

“Semua angka ini sangat membimbangkan, apatah lagi apabila mengambil kira pelaburan negara untuk pendidikan tinggi adalah sangat besar.”

Beliau memberi amaran tindakan kerajaan mengabaikan generasi terbaiknya akan “membayar harga yang mahal untuk kemajuan negaranya”.

“Nampaknya Malaysia mula menuju ke arah tersebut, membazirkan bakat dan potensi generasi mudanya, tanpa strategi yang sesuai dengan zaman.”

Awal bulan ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed dilaporkan berkata, graduan harus bersyukur mempunyai pekerjaan, walaupun dengan gaji rendah sewaktu ekonomi bergelut dengan impak Covid-19.

Katanya, gaji graduan lebih rendah daripada biasa akibat pasaran pekerjaan yang lemah disebabkan ekonomi menguncup 5.6% tahun lalu, tetapi keadaan akan bertambah baik dalam tiga hingga empat bulan akan datang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.