Dedah nama sekolah ditutup kerana Covid-19, kata KM P Pinang

Dedah nama sekolah ditutup kerana Covid-19, kata KM P Pinang

Chow Kon Yeow berkata, pihaknya tidak menerima makluman rasmi mengenai mana-mana sekolah di negeri itu ditutup kerana cetusan jangkitan.

Chow bercakap dengan pemberita selepas menghadiri acara pemeteraian perjanjian antara USM, Angkasa X Innovation Sdn Bhd dan Digital Penang di Komtar hari ini.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini menggesa kerajaan persekutuan mendedahkan senarai sekolah yang ditutup kerana jangkitan Covid-19.

Senarai tersebut juga perlu sentiasa dikemas kini demi kepentingan ibu bapa dan pelajar, kata beliau ketika diminta mengesahkan berita bahawa beberapa sekolah di Pulau Pinang ditutup kerana cetusan jangkitan.

Kata Chow, beliau tidak mendapat makluman rasmi berkenaan mana-mana sekolah di Pulau Pinang ditutup sementara kerana Covid-19.

Keputusan menutup sekolah terletak pada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pendidikan berdasarkan analisis risiko, tambah beliau.

“Tetapi kami dapat banyak soalan daripada ibu bapa yang risau, yang terfikir sama ada sekolah (anak) mereka mengalami jangkitan dan akan ditutup.

“Saya rasa senarai sekolah (yang terlibat) perlu didedahkan kepada umum, supaya ibu bapa boleh membuat keputusan sama ada ingin menghantar anak mereka ke sekolah atau tidak.

“Setakat yang kita tahu, sembilan daripada 10 kluster aktif di negeri ini membabitkan kilang, manakala satu lagi melibatkan pusat tahanan,” katanya selepas menghadiri satu acara di Komtar hari ini.

Baru-baru ini, 19 sekolah di daerah Petaling di Selangor diarahkan tutup akibat beberapa kluster baharu Covid-19.

Chow menghadiri acara pemeteraian perjanjian antara Universiti Sains Malaysia (USM), Angkasa X Innovation Sdn Bhd dan syarikat milik kerajaan negeri, Digital Penang.

Angkasa-X dan USM akan bekerjasama untuk menawarkan kursus profesional dalam bidang kejuruteraan satelit, sementara Digital Penang akan memasarkan dan mempromosikan kursus ini kepada calon pelajar dalam sektor pembuatan di Pulau Pinang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.