Amah, pengasuh, pekebun bakal terima manfaat Perkeso mulai Jun

Amah, pengasuh, pekebun bakal terima manfaat Perkeso mulai Jun

Kadar caruman majikan dan pekerja akan mengikut kadar semasa di bawah Akta 4 dan Akta 800.

Kira-kira 104,000 pekerja dalam bidang perkhidmatan rumah tangga, seperti pembantu rumah, pemandu peribadi, pengasuh dan tukang kebun bakal menikmati manfaat di bawah Perkeso. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan mengumumkan pembantu rumah, pemandu peribadi, pengasuh dan tukang kebun bakal menerima manfaat daripada peluasan perlindungan keselamatan sosial di bawah Perkeso mulai Jun ini.

Beliau berkata, kira-kira 104,000 pekerja dalam bidang perkhidmatan rumah tangga, termasuk 15,000 warganegara dan pemastautin tetap serta 89,400 warga asing, bakal menikmati manfaat itu.

Katanya, warganegara dan pemastautin tetap bekerja dalam bidang itu yang mencarum dengan Perkeso akan dilindungi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), serta Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

Katanya, pekerja asing akan dilindungi Skim Bencana Kerja di bawah Akta 4.

“Kadar bayaran caruman oleh majikan dan pekerja akan mengikut kadar caruman semasa yang terpakai di bawah Akta 4 dan Akta 800,” katanya dipetik Bernama selepas menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Perkeso.

Saravanan berkata, Perkeso akan melaksanakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam masa terdekat bagi menjelaskan langkah itu sebelum ia dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.