Syarikat kontraktor, 4 lelaki didenda kerana longgok sisa pepejal haram

Syarikat kontraktor, 4 lelaki didenda kerana longgok sisa pepejal haram

Syarikat kontraktor perkhidmatan kutipan sisa binaan itu diwakili pengarahnya, manakala empat individu didakwa adalah dua pemandu lori, pengarah serta pengurus.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melonggokkan pepejal pembinaan dan perindustrian secara haram di lima lokasi.
JOHOR BAHRU:
Sebuah syarikat kontraktor perkhidmatan kutipan sisa binaan dan empat individu masing-masing didenda antara RM12,000 dan RM20,000, oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah melonggokkan sisa pepejal pembinaan dan perindustrian secara haram, antara Julai dan Oktober tahun lepas.

Syarikat Sama Mahir Sdn Bhd yang diwakili pengarahnya Tan Chee Siong, 49, dan lelaki berkenaan iaitu Nordin Abdul Said, 39; Tey Chiou Hwai, 44; Chong Wei Lun, 30; serta Chen Wei Xuan, 26, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa.

Ahmad Fuad turut menetapkan mereka boleh dipenjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Sama Mahir Sdn Bhd didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal perindustrian di atas tanah kerajaan Lot 3053, Mukim Plentong, di sini, pada kira-kira 10.30 pagi, 1 Sept lepas.

Nordin, seorang pemandu lori, didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal pembinaan di atas tanah Lot 705, Mukim Sungai Tiram, di sini, pada kira-kira 4 petang, 14 Julai lepas.

Tey, pengurus syarikat, didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal perindustrian di atas tanah Lot 580, Mukim Tebrau, di sini, pada kira-kira 4.40 petang, 4 Ogos lepas.

Sementara itu, Chong yang juga pemandu lori didakwa melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu sisa pembinaan di atas tanah Lot PTD 216964, Kampung Plentong Baru, di sini, kira-kira 4.46 petang, 7 Sept lepas, manakala Chen iaitu pengarah syarikat didakwa melakukan perbuatan sama di atas tanah Lot 211042, Kampung Plentong Baru, kira-kira 11 pagi, 12 Okt lepas.

Semuanya didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 71(8) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Rubiah Maulud, manakala Sama Mahir Sdn Bhd serta keempat-empat lelaki berkenaan tidak diwakili peguam.

Sama Mahir Sdn Bhd dan semua orang kena saman (OKS) berkenaan dalam rayuan masing-masing memohon mahkamah mengenakan denda yang ringan atas pelbagai alasan termasuk mengalami masalah kewangan ekoran pandemik Covid-19, selain menanggung ibu bapa serta ahli keluarga lain.

Bagaimanapun, Rubiah memohon mahkamah menetapkan hukuman setimpal dengan mengambil kira faktor kepentingan awam.

Turut hadir mengikuti prosiding pertuduhan berkenaan, Pengarah SWCorp Johor, Cairul Hisham Jalaluddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.