Lelaki ditahan gara-gara cekik pekerja kedai selepas ditegur tak ikut SOP

Lelaki ditahan gara-gara cekik pekerja kedai selepas ditegur tak ikut SOP

Suspek mengugut dan mencekik pekerja lelaki berusia 22 tahun selepas ditegur tidak memakai pelitup muka selain tidak mematuhi SOP sebelum memasuki premis.

Tangkap layar dari rakaman CCTV kedai runcit di Senawang memaparkan seorang individu tidak memakai pelitup muka bertindak menyerang pekerja kedai itu selepas ditegur tidak mematuhi SOP memasuki premis. (Gambar Twitter)
SEREMBAN:
Berang kerana ditegur tidak memakai pelitup muka, seorang lelaki bertindak mengugut dan mencederakan pekerja di sebuah kedai runcit di Senawang, semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Mohd Said Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu suspek mengugut dan mencekik pekerja lelaki berusia 22 tahun selepas ditegur tidak memakai pelitup muka selain tidak menjalani saringan suhu badan dan menulis nama di buku yang telah disediakan.

“Susulan kejadian itu, suspek yang ditahan di Senawang pada 10 malam untuk siasatan lanjut turut dikenakan kompaun atas ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 di bawah Akta 342,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, permohonan reman akan dibuat ke atas suspek di Mahkamah Seremban hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 atau 323 Kanun Keseksaan.

Semalam, tular video berdurasi lebih satu minit di media sosial yang memaparkan seorang individu tidak memakai pelitup muka mencekik seorang lelaki di sebuah kedai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.