
Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, berkata menurut International Data Corporation, tempias daripada pelaburan pusat data serantau ini mungkin diterjemahkan kepada penjanaan hasil berjumlah USD6.9 (RM28.3) dalam ekosistem awan untuk setiap hasil USD1 (RM4.2) yang dijana oleh Microsoft Malaysia daripada awan menjelang 2024.
Di bawah inisiatif itu, katanya, Microsoft juga membentuk lima perkongsian dengan agensi kerajaan dan syarikat tempatan termasuk Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB), Petronas, Celcom dan Grab.
“Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Microsoft Bersama Malaysia, saya juga difahamkan oleh Microsoft bahawa kerjasama ini akan membantu memahirkan sehingga satu juta rakyat Malaysia (di pelbagai peringkat) menjelang akhir 2023,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran inisitaif “Microsoft Bersama Malaysia”.
Muhyiddin berkata, inisiatif itu juga sejajar peranan yang bakal dimainkan oleh pendigitalan sebagai pemangkin jangka sederhana dan panjang yang penting dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), selain Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB2030).
Pusat data serantau pertama Microsoft di Malaysia itu termasuk “Microsoft Azure”, yang akan membolehkan sesiapa sahaja mereka cipta dengan tujuan untuk menggunakan perkhidmatan dan keupayaan awan.
Ini merangkumi pengkomputeran, perangkaian, pangkalan data, analitik, kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT); Microsoft 365, untuk berhubung, berkolaborasi, bekerja dari jarak jauh dan belajar secara dalam talian dengan instrumen produktiviti inovatif; serta Dynamics 365 dan Power Platform, untuk membina dengan pantas dan menguruskan penyelesaian perniagaan enterpris kritikal dengan aplikasi perniagaan pintar.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk menjadi hab data serantau, dengan ketersediaan jalur lebar tinggi yang meningkat, ruang secukupnya, tarif kuasa berpatutan dan kini dengan kemunculan syarikat-syarikat hiperskala.
“Kita adalah sebuah negara yang kecil dengan impian data yang besar. Komitmen untuk melengkapkan negara dengan jalur lebar 5G dan meningkatkan kapasiti simpanan data hanyalah permulaan,” katanya.
Seperti biasa, Muhyiddin berkata, kerajaan akan merintis jalan dan menjadi teladan, dengan terlebih dahulu memindahkan 80% daripada datanya kepada awan menjelang akhir 2022.
“Penghijrahan ini dan juga penyediaan aplikasi super kerajaan dalam tempoh terdekat, akan memperluaskan set data seterusnya membolehkan kerajaan mengumpul maklumat dalam mengenal pasti isu sosial dan menyelaraskan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
“Dengan memahami pola tingkah laku dan hubung kait di antaranya, kerajaan berharap dapat menggunakan data untuk membuat analisis ramalan. Menangani isu ini akan membantu menambah baik penyampaian perkhidmatan sektor awam dan memperkasakan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pandemik Covid-19 telah menunjukkan bahawa golongan paling terdedah ialah kumpulan yang sering tidak dapat menggunakan teknologi ini, malah mereka menghadapi risiko paling besar untuk dipinggirkan.
Oleh itu, katanya, melalui kerjasama awam-swasta di bawah inisiatif MyDigital, Malaysia akan melabur sekurang-kurangnya RM50 bilion dalam tempoh lima tahun di bawah pelbagai projek infrastruktur digital.