
Ketua Polis Daerah Beluran, Kasim Muda, berkata kejadian berlaku pada 18 April kira-kira 8 pagi di sebuah rumah kongsi pekerja ladang sawit.
“Siasatan mendapati suspek seorang pekerja ladang warga Indonesia berumur 34 tahun, dipercayai menyimbah minyak petrol di ruang tamu rumah berkenaan.
“Sejurus itu, api marak di sekitar dalam rumah kongsi berkenaan, dan suspek terbakar bersama mangsa iaitu penghuni rumah itu, yang juga merupakan seorang pekerja ladang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Kasim, kejadian itu turut disaksikan oleh isteri mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dan pekerja ladang yang berada berhampiran berjaya memadamkan api daripada merebak.
Beliau berkata, suspek dan mangsa dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent di Sandakan kerana mengalami kecederaan parah, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menjalani rawatan kira-kira 11 malam pada hari sama, manakala suspek dalam keadaan kritikal.
“Motif kejadian masih disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan”, katanya.