Tiga sahabat maut, kereta hilang kawalan langgar pokok

Tiga sahabat maut, kereta hilang kawalan langgar pokok

Kereta dikatakan hilang kawalan setelah melanggar batu penghadang jalan, berpusing lalu merempuh pokok.

Bahagian hadapan kereta yang terputus selepas melanggar batu penghadang dan pokok di tepi jalan awal pagi tadi. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat)
KUALA LUMPUR:
Tiga sahabat maut apabila kereta yang dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh sebatang pokok di Jalan Klang Lama, awal pagi tadi.

Mangsa yang maut dikenali sebagai G Sharvinath, 21; J Jordan Jackson, 19; dan D Hervinraj berusia 16 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Zulkefly Yahya, berkata dalam kejadian pada pukul 6.49 pagi itu, kereta berkenaan sedang dalam perjalanan dari arah Klang Lama menghala ke pusat bandar.

Anggota polis menenangkan waris kepada mangsa korban di tempat kejadian.(Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat)

Kereta yang dipandu Sharvinath itu dikatakan hilang kawalan setelah melanggar batu penghadang di sebelah kanan jalan, sebelum berpusing lalu merempuh sebatang pokok di kiri jalan, katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketiga-tiga lelaki itu maut di tempat kejadian, manakala kereta yang dinaiki remuk dan terputus dua bahagian.

Bahagian belakang kereta yang remuk selepas merempuh pokok di tepi Jalan Klang Lama. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat)

Zulkefly berkata mayat dihantar ke unit forensik Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bedah siasat.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Seputeh Mohd Nazri Hasim berkata 18 pegawai dan anggota dari BPP Seputeh dan BPP Pantai dikerah ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.