Tiada layanan istimewa buat suspek disyaki pukul pengawal peribadi, kata polis

Tiada layanan istimewa buat suspek disyaki pukul pengawal peribadi, kata polis

Suspek memohon maaf secara spontan dalam bahasa Cina ketika melalui kawasan lobi IPD Dang Wangi di mana kumpulan media sedang berkumpul, kata Mohamad Zainal

Suspek yang juga majikan (tengah) dalam kes pukul dan ugut bunuh dua pengawal peribadi kerana berpuasa dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pagi tadi untuk polis mendapatkan perintah reman. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Mohamad Zainal Abdullah, menafikan polis memberi layanan istimewa kepada suspek yang juga majikan disyaki memukul dua pengawal peribadinya kerana berpuasa.

Beliau berkata demikian selepas Ahli Dewan Negara, Muhammad Zahid Md Arip, mempertikaikan layanan istimewa yang didakwa diberikan polis kepada suspek untuk menemui wartawan ketika direman bagi memohon maaf kepada umat Islam dan Yang di-Pertuan Agong atas tindakannya.

Zainal berkata, kejadian itu berlaku secara kebetulan ketika suspek dalam proses untuk diserahkan kepada pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

Pada hari itu, katanya, polis mengadakan sidang media berkaitan isu video mempromosi judi atas talian yang bertemakan Aidilfitri dan ketika suspek dibawa turun ke lobi, kebetulan sidang media baru berakhir dengan ramai wartawan masih berada di lokasi.

“Suspek yang diambil oleh anggota IPD Klang Selatan secara kebetulan melalui lobi dan wartawan mengambil gambar suspek sementara menunggu kenderaan polis sampai ke perkarangan lobi.

“Perkara itu berlaku secara spontan kerana suspek tiba-tiba bercakap kepada media dan bukannya diberi peluang membuat sidang media,” katanya dalam kenyataan.

Zainal berkata, wartawan juga tidak bertanyakan sebarang soalan kepada lelaki itu, sebaliknya suspek sendiri memohon maaf dalam bahasa Cina dan ia dipetik media yang berada di situ.

Beliau turut menasihatkan semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham dan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

“Kita berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan untuk memanipulasikan perkara ini. Tidak timbul isu kita beri layanan istimewa kepada suspek kerana kejadian itu berlaku secara kebetulan.”

Terdahulu, suspek yang berusia 44 tahun itu direman lima hari hingga Khamis ini bagi membantu siasatan kes berkenaan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 506 KK (ugutan), Seksyen 298 KK (menghina Islam) dan Seksyen 307 KK kerana cubaan membunuh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.