
Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata, banyak persoalan masih belum terjawab, terutamanya mengenai nasib pekerja yang telah berkhidmat lebih daripada 60 tahun dengan organisasi bank itu di negara ini.
Menurut laporan, Citigroup mempunyai 11 cawangan dan tiga pusat perkhidmatan dengan lebih daripada 6,000 pekerja di Malaysia.
“Ketua pegawai eksekutif (CEO) bank tidak mengulas mengenai isu keselamatan kerja jangka panjang pekerjanya yang timbul apabila bank tersebut menarik diri daripada operasi runcit di Malaysia,” kata Solomon dalam kenyataan.

“Sebaliknya, beliau hanya membuat kenyataan yang samar-samar bahawa tidak ada perubahan serta merta terhadap persyaratan kakitangan. Ini tidak memberi ketenangan kepada pekerja kerana prospek masa depan mereka dengan bank itu diragui.”
Kata beliau, bank itu tidak menghubungi NUBE atau kakitangannya lebih awal untuk memaklumkan tentang apakah yang sebenarnya sedang berlaku.
Solomon berkata, walaupun CEO bank itu menjemput NUBE untuk bermesyuarat minggu ini, kekurangan maklumat dan ketiadaan komitmen jelas daripada Citibank untuk memastikan pekerja mereka dapat mengekalkan pekerjaan tidak boleh diterima.
Minggu lalu, Citigroup mengumumkan niatnya untuk menghentikan operasi penggunanya di Malaysia dan menjalankan operasi dari negara lain, antaranya Singapura.
Bank itu menyatakan bahawa fokusnya adalah kepada pertumbuhan yang kukuh dan pulangan menarik daripada tawaran perniagaan pengurusan kekayaan.
“Langkah terbaru bank ini untuk fokus secara eksklusif kepada perniagaan institusi adalah kemuncak amalan perniagaan bersifat diskriminatif di negara ini.
“Bahagian perbankan yang paling tidak menguntungkan tidak dipedulikan, walaupun ia adalah perkhidmatan penting buat orang ramai.
“Sebaliknya, bank hanya mahu fokus kepada bahagian yang paling menguntungkan, iaitu korporat dan individu kaya,” kata beliau.
Kata Solomon, Citibank adalah antara sejumlah bank multinasional yang diberi lesen untuk beroperasi di Malaysia sejak beberapa dekad lalu.
Ini setelah mereka menyatakan komitmen untuk menghormati konvensyen antarabangsa dan menyediakan akses setara keperluan perbankan kepada pengguna bandar dan luar bandar.
Namun kata beliau, bank seperti Citibank kemudiannya membelakangkan komitmen ini dengan menumpukan operasi mereka di pusat bandar utama dan mengaut keuntungan besar yang disalurkan kembali ke negara asal mereka.
“Amalan ini berleluasa selama bertahun-tahun kerana tidak ada campur tangan daripada kerajaan atau Bank Negara.
“Ini mesti dihentikan segera sebelum lebih ramai pekerja B40 dan M40 menjadi mangsa ketamakan seperti ini,” kata beliau.