Sinar Ramadan buat ibu 10 anak

Sinar Ramadan buat ibu 10 anak

Rosliza kini berpeluang berniaga makanan dan minuman di Bazar Ramadan Alma, Taman Machang Bubok.

Kisah menyayat hati Rosliza dan 10 anaknya tular apabila hilang tempat berteduh selepas diminta keluar dari rumah sewa. Beliau kini berniaga makanan dan minuman di Bazar Ramadan Alma di Taman Machang Bubok, Bukit Mertajam.
BUKIT MERTAJAM:
Ramadan terus membawa sinar kepada Rosliza Hassan, ibu 10 anak apabila berpeluang berniaga makanan dan minuman di Bazar Ramadan Alma, Taman Machang Bubok dekat sini, sejak dua hari lalu.

Harian Metro melaporkan, hasil bantuan jurugambar bebas, Keow Wee Loong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lee Khai Loon yang berusaha mendapatkan tapak niaga, modal serta peralatan buatnya, Rosliza, 37, kini bergelar peniaga kecil-kecilan.

Lebih menggembirakan Rosliza, sepanjang dua hari berniaga beliau meraih pendapatan hampir RM2,000.

“Alhamdulillah, saya gembira dan berterima kasih kepada Keow dan Yang Berhormat (YB) Khai Loon atas peluang yang diberikan.

“Tak sangka kehidupan saya berubah dalam masa singkat dan semua ini berlaku dengan izin Allah.

“Terima kasih juga saya ucapkan kepada semua yang mendoakan dan membantu malah sehingga hari ini, masih ada individu menghulurkan sumbangan,” katanya ketika dihubungi akhbar itu.

Rosliza berkata, antara makanan dijual termasuklah ayam goreng, sosej, dimsum, jejari ayam dan bertih jagung.

Selain itu, beliau turut menjual air sirap, jagung dan teh ais.

“Saya tidak berseorangan sebaliknya dibantu dua anak iaitu Muhammad (21) dan Muhammad Faiz (20).

“Manakala, yang lain (anak lain) di rumah dengan jagaan salah seorang anak perempuan saya,” katanya.

Sementara itu usaha Keow mencari modal, bahan, peralatan dan tapak niaga turut dibantu oleh Lee dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.

“Usaha saya dipermudahkan dengan pertolongan YB (Lee Khai Loon) yang menghubungi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendapatkan tapak dan akhirnya, Kak Ros dapat berniaga di bazar Ramadan Alma bermula kelmarin.

Terdahulu dilaporkan Rosliza dan 10 anaknya hilang tempat berteduh selepas diminta berpindah keluar dari rumah.

Nasib Rosliza mendapat perhatian Keow yang secara kebetulan bertemu dengan wanita itu bersama longgokan barangan di hadapan rumahnya.

Keow kemudian membantunya berpindah ke petempatan baharu di Taman Machang Bubok tidak jauh dari rumah sewa lamanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.