Serbuan gempur ‘geng Nicky’ ikut SOP pasukan, kata Ayob Khan

Serbuan gempur ‘geng Nicky’ ikut SOP pasukan, kata Ayob Khan

Geng Nicky dipercayai diketuai seorang lelaki tempatan bergelar ‘Datuk Seri’, yang kini diburu polis kerana disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah terancang.

Ketua Polis Johor Ayob Khan berkata, serbuan di Trigon Residence Setiawalk, Puchong, Selangor pada 20 dan 21 Mac lepas bagi menggempur kumpulan jenayah terancang ‘geng Nicky’, dijalankan mengikut prosedur operasi standard pasukan. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Polis hari ini menegaskan serbuan Ops Pelican 3.0 yang dilakukan di Trigon Residence Setiawalk, Puchong, Selangor pada 20 dan 21 Mac lepas bagi menggempur kumpulan jenayah terancang ‘geng Nicky’, dijalankan mengikut prosedur operasi standard pasukan.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semasa serbuan itu dilakukan, sebanyak 45 unit kondominium digeledah dengan cara memecahkan tombol pintu dan penggeledahan dibuat berdasarkan maklumat risikan dan atas sebab-sebab yang munasabah.

Ini termasuk selepas polis mengesyaki kondominium terbabit menjadi tempat persembunyian geng berkenaan dan menyimpan dokumen atau harta terlibat.

“Serbuan dan penggeledahan juga mematuhi peruntukan undang-undang Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012,” katanya dalam kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai menjawab luahan penduduk kondominium tersebut berkaitan kerosakan di kediaman mereka susulan serbuan berkenaan.

Serbuan itu membabitkan 220 pegawai dan anggota polis daripada pelbagai jabatan, melibatkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Pasukan Gerakan Am Batalion 4, Cheras, Kuala Lumpur.

Geng Nicky dipercayai diketuai oleh seorang lelaki tempatan bergelar ‘Datuk Seri’, dikenali Nicky Liow Soon Hee, 33, yang kini dalam buruan polis kerana disyaki terbabit dalam pelbagai jenayah terancang seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

Liow juga adalah pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk, Puchong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.