Asing sukan ikut kaum, tindakan akan diambil terhadap sekolah, kata menteri

Asing sukan ikut kaum, tindakan akan diambil terhadap sekolah, kata menteri

Tindakan sebuah sekolah di Batu Pahat itu bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di peringkat sekolah, kata Radzi Jidin.

Sukan adalah medium pengukuhan perpaduan yang amat berkesan antara semua kaum, kata Menteri Pendidikan Radzi Jidin.
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan akan mengambil tindakan terhadap sebuah sekolah di Batu Pahat yang bertindak mengeluarkan panduan pemilihan aktiviti sukan murid mengikut kaum.

Menterinya, Radzi Jidin berkata, tindakan itu bertentangan dengan matlamat dan asas pelaksanaan program sukan di peringkat sekolah.

Kata beliau, sukan adalah wadah yang mampu mewujudkan semangat kebersamaan yang jitu, dan medium pengukuhan perpaduan yang amat berkesan antara semua kaum.

“Penyokong juga begitu. Bila pasukan atau atlet Malaysia bertanding, tanpa mengira siapa mereka, seluruh rakyat Malaysia berbilang kaum dengan penuh semangat patriotik bangkit menyokong sepenuh jiwa.

“Apabila melihat panduan tersebut, terlintas dalam fikiran, kenapa perlu sedemikian? Biarlah anak-anak kita main bersama tanpa mengira siapa mereka!” kata beliau dalam catatan di Facebook.

Semalam, tular di media sosial satu surat dikeluarkan sebuah sekolah menengah di Batu Pahat yang meletakkan syarat kaum bagi pendaftaran kokurikulum pelajar Tingkatan Satu.

Berdasarkan kandungan surat itu, seorang pelajar hanya dibenarkan memilih satu jenis sukan daripada 12 jenis sukan yang ditawarkan, malah syarat kaum diletakkan bagi sukan yang perlu dipilih pelajar ketika mendaftar dalam talian.

Misalnya, sukan bola sepak untuk pelajar lelaki Melayu sahaja, bola keranjang untuk pelajar lelaki dan perempuan Cina sahaja, manakala sukan sepak takraw bagi pelajar lelaki Melayu sahaja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.