
Setiausaha agungnya, Amir Hariri Abdul Hadi berkata, ini kerana pendirian MUDA jelas tidak akan bekerjasama dengan ‘kleptokrat’ dan mahu semua parti pembangkang bersatu.
“MUDA mahu semua parti pembangkang bersatu dan bekerjasama.
“Kita percaya masih ada ruang kerjasama dalam kalangan pembangkang, tidak kira sama ada dalam Pakatan Harapan (PH) atau di luar PH,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan sama ada MUDA senada dengan Pejuang yang dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad yang menyebut bahawa ia tidak boleh memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang bekerjasama dengan pemimpin “kluster mahkamah”.
Sebelum ini, Presiden Pejuang, Mukhriz Mahathir berkata, “kluster mahkamah” merujuk kepada pemimpin Umno yang sedang menghadapi perbicaraan di mahkamah atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa, termasuk presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Najib Razak.
Dalam pada itu, Amir berkata, pendirian Pejuang itu berbeza dengan pendirian partinya.
Katanya, MUDA mahu parti pembangkang bekerjasama bagi menentang musuh mereka pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
“Sekiranya ada parti pembangkang bekerjasama dengan kleptokrat, kita mungkin terpaksa menilai semua kerjasama.
“Pada masa ini kita harapkan supaya parti pembangkang boleh bersatu dalam menghadapi pilihan raya umum. Kita rasa masih ada ruang untuk bersatu,” katanya.
Rakaman perbualan telefon tular yang didakwa melibatkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dan Zahid baru-baru ini mencetuskan kontrovesi apabila ia diuar-uarkan sebagai “bukti” kerjasama antara dua pemimpin itu untuk menjatuhkan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Anwar dan Zahid menafikan perbualan berkenaan, sebaliknya menyifatkan rakaman itu sebagai percubaan untuk memfitnah mereka dan parti masing-masing.