Jangan salahkan kerajaan jika kadar pengambilan vaksin perlahan, kata aktivis

Jangan salahkan kerajaan jika kadar pengambilan vaksin perlahan, kata aktivis

Program imunisasi kebangsaan akan dipercepat hanya dengan peningkatan bekalan vaksin berdaftar seluruh dunia.

Azrul Mohd Khalib berkata kerajaan berada di luar kawalan terhadap pasaran vaksin antarabangsa.
PETALING JAYA:
Seorang aktivis kesihatan mempertahankan kerajaan daripada kritikan terhadap kadar vaksinasi Covid-19 yang perlahan, dengan berkata ia di luar kawalan terhadap pasaran vaksin antarabangsa.

CEO Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata, program imunisasi kebangsaan akan dipercepat hanya dengan peningkatan bekalan vaksin berdaftar seluruh dunia.

Bercakap dengan FMT, Azrul menyatakan Malaysia sedang menunggu giliran dengan lebih daripada 90 negara lain untuk mendapatkan akses kepada bekalan yang sama dan tidak mempunyai pilihan selain terus menanti giliran.

“Masalah utama adalah terdapat permintaan dunia yang besar dan bekalan bergantung pada kemampuan pengeluar mengeluarkan jutaan bebuli sehari,” katanya.

Azrul Mohd Khalib

“Sekiranya sesuatu terjadi pada pengilang bebuli kaca yang digunakan untuk pembungkusan vaksin, ia turut menyumbang kepada kelewatan bekalan. Dalam kebanyakan situasi ini, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh kerajaan.”

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin baru-baru ini berkata terdapat masalah bekalan kerana beberapa negara kaya membeli vaksin untuk rakyatnya dengan kadar yang banyak.

Namun, beberapa negara yang lebih miskin daripada Malaysia memberi vaksin kepada rakyatnya pada kadar yang lebih cepat. Azrul berkata ini kerana mereka mendapat bantuan dalam mendapatkan vaksin berikutan keadaan sosio-ekonomi mereka.

Contohnya Bangladesh, yang menerima berjuta dos vaksin sebagai penerima diplomasi vaksin dari India dan Colombia, yang merupakan negara pertama di Amerika menerima penghantaran dari fasiliti Covax yang ditubuhkan untuk menyediakan vaksin bagi negara berpendapatan rendah.

“Malaysia sebagai negara berpendapatan menengah ke atas sudah melakukan apa saja untuk mendapatkan lebih banyak bekalan dengan mempelbagaikan jenis dan penyedia vaksin yang ada,” kata Azrul.

Bekas menteri kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata Indonesia dapat memberikan vaksin kepada rakyat negaranya dalam jumlah yang besar dengan cepat kerana negara itu terlibat dalam percubaan klinikal vaksin dari China.

Dr Lee Boon Chye.

“Oleh itu, ia diberi keutamaan untuk persediaan vaksin dari China,” katanya.

“Malaysia tidak terlibat dalam percubaan vaksin sebelum ini kerana kita mempunyai beberapa kes baharu selepas perintah kawalan pergerakan pertama pada Mac tahun lalu.”

Lee berkata, beliau yakin kerajaan pada ketika ini perlu fokus untuk masyarakat umum mendaftar untuk vaksinasi.

“Hanya sembilan juta orang, kurang dari satu pertiga populasi, telah mendaftar untuk vaksinasi, terlalu perlahan,” katanya.

Beliau mengkritik keputusan Putrajaya untuk menyumbangkan 50,000 dos vaksin Sinovac kepada Bosnia-Herzegovina.

“Jika kita tidak memiliki cukup vaksin, mengapa kita menderma kepada negara lain?” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.