
Guan Dee yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengangkat sumpah jawatan itu pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Sumpah Simpan Rahsia di Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini.
Turut menyaksikan istiadat berkenaan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin; Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee.
Sementara itu, Guan Dee ketika ditemui selepas istiadat tersebut mengesahkan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberikan peluang ini kepada parti STAR untuk menyertai Kabinet (pentadbiran) Persekutuan,” katanya.
Guan Dee turut melahirkan aspirasi untuk meningkatkan semula sektor pelancongan iaitu antara sektor terkesan akibat Covid-19.