
Hajiji berkata, ini akan menjadi keutamaan di bawah program perumahan rakyat termiskin (PPRT) di seluruh Sabah.
Buat masa ini, purata hanya sebanyak lapan rumah PPRT diluluskan untuk pembinaan di setiap bahagian pilihan raya.
Katanya, RM500 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membina kediaman PPRT di Sabah, tetapi negeri itu akan meminta jumlah lebih besar daripada kerajaan persekutuan.
Hajiji berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri hari ini.
Isu itu dibincangkan dengan mendalam ketika mesyuarat yang turut dihadiri semua menteri Kabinet negeri, setiausaha tetap dan ketua jabatan.
Dari segi pelaksanaan, Hajiji berkata permohonan juga telah dibuat kepada kementerian pembangunan luar bandar untuk mempertimbangkan memberi peluang kepada kontraktor Kelas F di Sabah supaya terlibat dalam projek itu.
Terdahulu, beliau mengingatkan semua agensi terlibat untuk terus memperbaiki prestasi dan kualiti projek demi manfaat rakyat.
Menurutnya, hasil kerja kurang memuaskan mengakibatkan ada bangunan yang tidak boleh digunakan selepas siap, dengan memberikan contoh yang berlaku di Salagon, Beaufort.
Beliau juga menyuarakan rasa tidak puas hati dengan jalan Sapulut-Kalabakan yang dianggapnya tidak mematuhi standard, berbanding Lebuh Raya Utara-Selatan yang boleh digunakan lori membawa muatan berat.
“Saya secara peribadi pernah menggunakan jalan itu (Sapulut-Kalabakan) sebelum pilihan raya lalu dan dapat melihat kerosakan padanya,” katanya.
Hajiji menggesa kementerian dan agensi relevan supaya tidak mempertimbangkan kontraktor atau perunding yang tidak cekap dan mengakibatkan kelewatan dalam projek pembangunan kerajaan.
Beliau turut berkata, pendedahan baru-baru ini mengenai kartel yang memonopoli 345 tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion di negara ini telah menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan awam.
“Saya memandang serius perkara ini dan ingin mengingatkan semua ketua jabatan negeri serta persekutuan supaya memfokuskan terhadap penyampaian perkhidmatan secara berwibawa selain mesra pelanggan sejajar dengan slogan dan aspirasi kerajaan, untuk menginsankan budaya perkhidmatan awam.
“Saya juga memberi amaran tidak akan berkompromi dengan mana-mana kakitangan awam yang bersikap seperti ‘Napoleon kecil’ dan menjejaskan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata setakat 5 Apr, Sabah telah membelanjakan RM148 juta atau 2.57% daripada peruntukan berjumlah RM4.99 bilion dalam rancangan boleh pinda RMK12.
Susulan itu beliau menekankan perlunya projek pembangunan yang dirancang supaya dilaksanakan segera.
“Tiada lagi alasan… tiada sebab untuk penangguhan. Sebarang dasar yang menghalang pembangunan di Sabah mesti diubah, terutama yang melibatkan bidang kuasa dan kuasa kita di Sabah,” katanya.