Tukang masak senyum lebar dipenjara 3 tahun miliki item IS

Tukang masak senyum lebar dipenjara 3 tahun miliki item IS

Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 34, mengaku bersalah memiliki dua keping kad memori, bendera, empat buku dan dua telefon bimbit.

Mahkamah mengarahkan hukuman bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 5 Ogos 2020.
KUALA LUMPUR:
Seorang tukang masak sebuah hotel di Singapura tersenyum lebar selepas Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun atas enam kesalahan memiliki pelbagai item berkaitan kumpulan militan IS, tahun lepas.

Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Firdaus Kamal Intdzam, 34, selepas dia mengaku bersalah atas semua pertuduhan memiliki item-item tersebut, antaranya, dua keping kad memori, sehelai bendera, empat buku dan dua telefon bimbit.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Kementerian Kesihatan Malaysia, pekarangan laluan bas masuk, Balai Ketibaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bharu pada 10.40 pagi, 5 Ogos 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130 JB (1) (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman itu bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 5 Ogos 2020.

Selepas prosiding, tertuduh dilihat tersenyum lebar kepada ahli keluarganya yang berada di galeri awam.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Sarah Khalilah Abdul Rahman memohon hukuman berbentuk pemenjaraan antara tiga dan empat tahun dikenakan ke atas tertuduh mengikut trend hukuman bagi kes-kes terdahulu di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan.

“Walau apa pun alasan mitigasi yang diberikan yang bersifat peribadi, mahkamah mesti mempertimbangkan keseriusan kesalahan itu, serta hukuman mesti mencerminkannya sebagai langkah pencegahan kepada komuniti dan orang awam.

“Terutama bagi kesalahan berkaitan keganasan, mahkamah perlu mengambil kira notis kehakiman terhadap ancaman berterusan berkaitan keganasan di dalam dan sekitar rantau ini,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman.

Bagaimanapun, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman yang ringan dengan alasan dia adalah penanggung utama keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.