Tak masuk akal ambil masa lama siasat kematian dalam lokap, kata NGO

Tak masuk akal ambil masa lama siasat kematian dalam lokap, kata NGO

EDICT menyarankan inkues diadakan untuk mencari punca kematian Muhammad Afis Ahmad.

Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) menggesa individu yang terbabit dalam kematian Muhammad Afis Ahmad dihadapkan ke mahkamah, jika siasatan mendapati berlaku salah laku dalam kalangan anggota polis. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Sebuah NGO menyelar polis bertindak lambat dalam menyiasat kematian seorang tahanan yang juga bekas sukarelawan simpanan polis, Muhammad Afis Ahmad, di lokap balai polis pada Januari lalu.

Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) menyifatkan tidak masuk akal untuk mengambil hampir tiga bulan bagi menyiasat kematian Afis yang sehingga kini belum selesai.

“Amat mengejutkan bagaimana kes yang berlaku dalam kawalan polis tanpa melibatkan mana-mana pihak ketiga dalam kematian tersebut, masih tidak dapat diselesaikan oleh polis dan mengambil masa sangat lama untuk disiasat.

“Dengan segala fasiliti, CCTV dan pengetahuan penjaga lokap, mengapa polis perlu mengambil masa yang lama untuk mencari punca dan sebab kematian tersebut?” soal NGO itu dalam kenyataan.

EDICT menyarankan inkues diadakan untuk mencari punca kematian Afis.

Ia turut menggesa individu yang terbabit dalam kes itu dihadapkan ke mahkamah, jika siasatan mendapati berlaku salah laku dalam kalangan anggota polis.

Pada 3 Feb lalu, Ketua Polis Kedah, Hasanuddin Hassan, dilaporkan berkata Afis ditahan pada 27 Jan lalu bawah Seksyen 379 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan berkaitan kes curi serta menyamar anggota polis.

Katanya, ketika tangkapan dibuat, lelaki itu bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dengan anggota polis yang menyebabkan dia cedera di bahagian muka, telinga dan dahi.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan pakar patologi Hospital Sultanah Bahiyah pada 29 Jan mendapati punca kematiannya disebabkan hentakan objek tumpul di kepala, tetapi laporan penuh bedah siasat itu belum diperoleh.

Katanya, Afis pernah berkhidmat sebagai sukarelawan polis di IPD Kuala Muda antara 2013 dan 2014, sebelum ditamatkan perkhidmatan kerana terlibat penyalahgunaan dadah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.