Selepas 6 bulan, wanita diberitahu suami mati akibat ‘ruang sempit’

Selepas 6 bulan, wanita diberitahu suami mati akibat ‘ruang sempit’

Lee Lin Hui berkata, pada mulanya punca kematian suaminya disenaraikan sebagai 'tidak diketahui'.

Lee Lin Hui menyifatkan ia ‘mimpi ngeri’ kerana tidak tahu bagaimana suaminya yang bekerja sebagai jurutera meninggal dunia di sebuah pelantar minyak di Bintulu, Sarawak.
PETALING JAYA:
Seorang wanita berusia 39 tahun terpaksa mengharungi penderitaan selama enam bulan sebelum pihak berkuasa kesihatan memberitahu punca kematian suaminya di sebuah pelantar minyak di Bintulu.

Lee Lin Hui, dari Puchong, berkata surat rasmi menyatakan suaminya, Lim Ching, yang bekerja sebagai jurutera dengan sebuah syarikat luar pesisir, meninggal dunia akibat “ruang sempit” pada Ogos 2020.

“Punca kematian pada mulanya disenaraikan sebagai ‘tidak diketahui’. Tetapi, dia mati di tempat kerja ketika bekerja di sebuah pelantar minyak di Bintulu. Saya hairan bagaimana mereka tidak tahu,” katanya pada sidang media.

Lee yang ingin mencari punca masalah itu, mula membuat pertanyaan tanpa henti kepada pihak berkuasa kesihatan, tetapi mereka berhenti menjawab panggilannya selepas seketika.

“Ketika inilah mimpi ngeri saya bermula. Saya menelefon Jabatan Forensik Bintulu setiap dua minggu, dengan kakitangannya meminta saya menunggu lebih lama setiap kali saya telefon.”

Ibu kepada dua anak itu tidak berputus asa dan terus menghubungi jabatan itu sehingga mereka tidak lagi menjawab panggilannya.

“Saya tidak dapat meneruskan hidup. Suami saya mati dan saya tidak tahu bagaimana dia mati,” katanya sambil menambah beliau juga tidak dapat meneruskan tuntutan insurans peribadi.

Lee yang terdesak mencari jawapan, meminta bantuan daripada Ahli Parlimen Subang, Wong Chen.

Wong, yang turut hadir dalam sidang media, berkata selepas meneliti kes itu, beliau meminta kakitangannya segera menghubungi Hospital Bintulu.

“Dalam masa dua minggu, Jabatan Forensik Bintulu memaklumkan kami secara rasmi punca kematian disebabkan ruang sempit.”

Katanya, jabatan itu tidak sepatutnya mengambil masa berbulan-bulan untuk mengeluarkan laporan kerana ia akan menimbulkan penderitaan tidak perlu.

Beliau berkata, walaupun hanya ada seorang ketua Jabatan Forensik untuk Sarawak, pihak berkuasa kesihatan perlu mencari jalan mengeluarkan laporan kematian lebih cepat.

“Saya berharap ini tidak berlaku lagi pada masa depan yang menyebabkan orang awam perlu menunggu berbulan-bulan untuk mendapat jawapan untuk perkara penting sedemikian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.