
Masidi Manjun, jurucakap rasmi Covid-19 negeri itu, berkata penutupan pasar mungkin perlu untuk mengawal penularan virus itu.
Katanya, seperti diumumkan sebelum ini, kerajaan melarang bazar Ramadan diadakan tahun ini, tidak seperti di Semenanjung.
“Ini kerana kes di Sabah belum stabil lagi. Juga, ada beberapa kluster baharu dalam negeri ini.
“Memandangkan ada keperluan mendesak untuk mengawal penularan Covid-19 di negeri ini, semua pihak berkuasa tempatan dikehendaki mengkaji aktiviti membabitkan pasar malam, pasar awam dan pasar minggu, tamu, gerai tepi jalan dan lain-lain sama dengannya,” katanya dalam taklimat harian.
Sabah mencatatkan 202 kes dalam tempoh 24 jam lalu, dengan sebahagian besar kes itu dikesan di Tawau (58 kes) dan Sandakan (46 kes).
Sebanyak 33 kes di Sandakan dikesan daripada dua kluster baharu, iaitu Lorong Megah Jaya dan Jalan Labuk 3. Sebelas daripadanya membabitkan pelajar di sebuah asrama dalam kluster Jalan Labuk 3.
Sabah merekodkan keseluruhan 57,367 kes Covid-19 setakat ini, dengan 886 pesakit masih menerima rawatan sama ada di hospital atau pusat rawatan berisiko rendah.