
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata, walaupun acara antarabangsa seperti itu masih tidak dibenarkan, kementerian berusaha memastikan negara mampu menerima pengembara daripada sektor itu apabila sekatan terhadap sempadan dilonggarkan.
“Jadi, laluan khas sudah pun dalam perbincangan, malah sudah ada di lapangan terbang jadi disebabkan itu kita perlu membincangkan lebih lanjut dengan imigresen,” katanya.
“Sebaik ini (perjalanan MICE) dibenarkan, kita dapat menggunakan laluan khas ini untuk delegasi perniagaan.”
Walaupun acara MICE antarabangsa masih tidak dibenarkan, sektor tempatan dibuka semula bulan lalu. Di kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, 25% kapasiti premis atau maksimum 250 orang dibenarkan.
Acara MICE di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat pula tertakluk kepada kapasiti 50% manakala di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan pula ia bergantung kepada saiz premis.
Nancy bercakap pada sidang media selepas Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) melancarkan pelan pemasaran strategik acara perniagaan 2021-2030 di sebuah hotel di sini.
Pada acara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCEB Abdul Khani Daud berkata perancangan untuk industri acara perniagaan berteraskan tiga perkara utama – pengoptimuman, berpandangan jauh dan berdaya saing.
“Malaysia kekal teguh dalam pada pandemik pada 2020 yang sepatutnya juga Tahun Melawat Malaysia,” katanya.
“Dalam melangkah ke arah dekad baharu, MyCEB berazam meningkatkan industri acara perniagaan Malaysia,” katanya.