Nicky masih di Malaysia, kata Ayob

Nicky masih di Malaysia, kata Ayob

Ketua Polis Johor berkata, pihaknya masih memburu dan mengenal pasti lokasi ahli perniagaan dan pengasas Winner Dynasty Group itu.

Nicky Liow Soon Hee, 33, pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Ops Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Johor, Ayob Khan Mydin Pitchay, percaya ahli perniagaan dikehendaki, Nicky Liow Soon Hee, tidak lolos ke luar negara dan masih berada di Malaysia.

Ayob berkata, setakat ini polis masih memburu dan mengenal pasti lokasi ahli perniagaan dan pengasas Winner Dynasty Group itu.

“Setakat ini kedudukan belum dapat dikenal pasti lagi, tapi kita percaya dia masih dalam Malaysia.

“Kita juga telah meminta Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dan juga Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk mengesan Nicky. Insya-Allah kalau dia masih berada di Malaysia kita akan dapat tangkap,” katanya pada sidang media selepas melawat anak anggota polis yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur, menurut laporan Sinar Harian.

Semalam, Ayob menegaskan beliau enggan menyerahkan senarai nama pegawai yang bersekongkol dengan “Geng Nicky” kepada Bukit Aman, sebaliknya berjanji mengheret mereka ke mahkamah atas tuduhan melakukan jenayah terancang.

Ayob berkata, tidak ada guna beliau mendedahkan senarai nama pegawai dan anggota terbabit untuk diberikan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bagi diambil tindakan tatatertib.

Sebaliknya, beliau mahu memberi tumpuan untuk melengkapkan kertas siasatan dan membawa semua pegawai dan anggota terbabit ke muka pengadilan.

Sebelum ini, dilaporkan, Nicky dan ahli kumpulannya kemungkinan berusaha melarikan diri ke luar negara selepas operasi memberkas mereka pada 20 Mac lalu didakwa dibocorkan pihak yang menerima habuan daripadanya.

Polis juga tidak menolak kemungkinan ahli perniagaan itu akan menggunakan laluan tikus di sempadan negara ini untuk melarikan diri daripada ditahan.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, sebelum ini mendedahkan 34 pegawai dan anggota pelbagai agensi penguat kuasa disyaki mempunyai hubungan dan melindungi kegiatan sindiket jenayah terancang “Geng Nicky”.

Nicky, 33, pengasas Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Ops Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.