Menteri selar Suruhanjaya Tinggi Bangladesh lancar portal kerja

Menteri selar Suruhanjaya Tinggi Bangladesh lancar portal kerja

M Saravanan berkata portal pekerjaan itu tidak patut dilancarkan di Malaysia kerana menjejaskan perancangan kerajaan dalam menguruskan permintaan bagi tenaga kerja asing.

Portal pekerjaan itu juga bagi membantu pekerja Bangladesh yang tiada dokumen sah untuk terlibat dalam Program Rekalibrasi kerajaan.
PETALING JAYA:
Menteri Sumber, Manusia M Saravanan, menyelar Suruhanjaya Tinggi Bangladesh kerana melancarkan portal pekerjaan diberi nama “Chakrir Khoj”.

Saravanan berkata, tidak wajar untuk melancarkan portal pekerjaan itu di Malaysia kerana menjejaskan perancangan kerajaan dalam menguruskan permintaan bagi tenaga kerja asing di negara ini dengan sebaiknya.

“Saya terkejut dengan tindakan Suruhanjaya Tinggi Bangladesh melancarkan ‘Chakrir Khoj’ tanpa merunding atau memaklumkan Kementerian Sumber Manusia terlebih dulu.

“Tindakan seperti itu bertentangan dengan peranan dan tanggungjawab misi diplomatik asing,” katanya.

Portal pekerjaan itu bagi membolehkan majikan di Malaysia merekrut pekerja Bangladesh selain membantu rakyat negara itu yang tidak mempunyai dokumen sah supaya terlibat Program Rekalibrasi diumumkan kerajaan tahun lalu.

Pengenalan Program Rekalibrasi itu membolehkan sektor pembinaan, pembuatan, perladangan dan pertanian untuk menggaji pekerja asing yang tiada dokumen secara sah di negara ini sehingga 30 Jun.

Saravanan berkata, kerajaan membangunkan portal pekerjaan kebangsaan MyFutureJobs yang mengiklankan kekosongan kerja tempatan, juga untuk rujukan pekerja asing dan ekspatriat.

Beliau berkata, “Chakrir Khoj” akan menjejaskan perniagaan lebih 400 agensi pekerjaan swasta yang kini diberi lesen oleh Jabatan Tenaga Kerja bagi membawa pekerja asing ke negara ini.

“Saya memandang serius perkara ini kerana mampu memperdayakan dan mengakibatkan kekeliruan, terutama dalam kalangan majikan tempatan. Mengikut Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246), pengambilan pekerja asing di Malaysia diuruskan oleh agensi pekerjaan swasta yang diberi lesen oleh Jabatan Tenaga Kerja.

“Syarikat tempatan ini tidak beroperasi lebih setahun, namun masih membayar yuran perlesenan diwajibkan,” katanya.

Selain itu, Saravanan berkata kewujudan portal itu mungkin mengakibatkan ledakan pekerja tanpa izin dari Bangladesh ke negara ini seterusnya membawa kepada eksploitasi golongan itu disebabkan status imigresen yang tidak pasti. Ini pula mampu mencemar imej Malaysia, katanya.

“Dalam pada saya mengakui kebergantungan industri terhadap pekerja asing, terutama dalam sektor yang dianggap tidak menarik bagi pekerja tempatan, kementerian sentiasa memastikan pekerja tempatan diberi keutamaan dalam pekerjaan,” katanya.

Saravanan menambah, beliau kini berbincang dengan majikan dari sektor yang terjejas teruk akibat Covid-19, khususnya pembinaan, perladangan dan pertanian, untuk mengiklankan kekosongan kerja di portal MyFutureJobs. Ini bagi memastikan tiada pekerja tempatan yang terlepas daripada peluang mendapat pekerjaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.