
V Vemal Arasan berkata, perintah itu dihantar melalui emel kepada isteri Momoh, Low Kar Hui, petang semalam dan meminta beliau membuat persiapan untuk penerbangan pulang ke Nigeria.
Beliau berkata, menurut perintah deportasi itu, Momoh dilihat sebagai imigran yang dilarang mengikut Seksyen 8(3)(d)(i)(ii) Akta Imigresen.
Vemal juga memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi, Ab Karim Ab Rahman, semasa pendengaran habeas corpus memohon pembebasan Momoh bahawa beliau tidak dapat bertemu kliennya di pusat tahanan semalam.
Katanya, pegawai imigresen memberitahu bahawa berlaku gangguan bekalan elektrik.
Katanya, beliau perlu bertemu Momoh bagi membolehkan mereka menyediakan penghujahan lengkap, sekali gus menambah bahawa Jabatan Peguam Negara bersetuju beliau berhubung dengan kliennya itu.
Karim menetapkan Rabu depan untuk pendengaran penuh permohonan habeas corpus beliau.
Vemal memberitahu pemberita kemudian bahawa tiada peruntukan undang-undang yang boleh memaksa isteri Momoh membeli tiket penerbangan untuk beliau meninggalkan negara ini.
Beliau berkata, mereka akan menulis surat rayuan kepada kerajaan.
Vemal memfailkan permohonan habeas corpus pada 1 April dengan menamakan Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai responden.
Momoh yang mengahwini Low sejak lapan tahun lepas dan mempunyai visa sah ditahan di sekatan jalan raya di Cheras pada awal pagi 15 Mac kerana disyaki memandu bawah pengaruh alkohol.
Beliau mengaku salah di mahkamah pada hari sama dan membayar denda berjumlah RM12,0000. Low diberitahu beliau akan dibebaskan pada 5 petang.
Beliau bagaimanapun ditahan di pusat tahanan Semenyih sejak itu.
Pihak berkuasa sebelum ini menolak permohonan Vemal dan Low untuk bertemu Momoh atas alasan sekatan wabak Covid-19.