Terkini 17 orang dijangkiti Covid-19 varian Afrika Selatan

Terkini 17 orang dijangkiti Covid-19 varian Afrika Selatan

Kementerian Kesihatan melaporkan semua kes di Selangor.

PETALING JAYA:
Seramai 17 orang dijangkiti Covid-19 varian B.1.351 dari Afrika Selatan sehingga kini, dengan semua kes dilaporkan di Selangor, kata Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata terbaru KKM mengesan lapan lagi kes membabitkan varian itu.

Katanya, sembilan kes dilaporkan dari Kluster Kebun Baru, tiga dari Kluster Jalan Lima, satu dari Kluster Teknologi Emas, dan empat dikesan melalui saringan kontak rapat.

“Analisis filogenetik serta hubungkait geografi menunjukkan kebarangkalian kes-kes tersebut adalah daripada punca jangkitan yang sama,” katanya dalam kenyataan.

Varian Afrika Selatan ditemui pada 18 Mac lalu, dalam kalangan dua kakitangan syarikat yang berpangkalan di KLIA dari Kluster Jalan Lima, satu kes dari Kluster Kebun Baru, dan satu daripada saringan kontak rapat.

“Bagi mengesan sejauh mana penyebaran lineage B.1.351, lebih banyak kes-kes di kawasan geografi yang berdekatan termasuk daerah Kuala Langat dan daerah Sepang telah dijalankan turutan jujukan genom penuh,” katanya.

Varian baru itu mula dilaporkan di dunia pada Disember 2020 di Afrika Selatan dan UK.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.