Hapuskan ‘kartel besar’ rokok haram, kata NGO

Hapuskan ‘kartel besar’ rokok haram, kata NGO

Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia berkata, kartel besar mempunyai rangkaiannya dalam penguatkuasaan undang-undang negara.

Walaupun ada tindakan diambil ke atas penyeludupan rokok, kartel rokok haram tetap aktif dengan mengupah peguam dan menyogok pegawai penguatkuasaan.
PETALING JAYA:
Sebuah lagi “kartel besar” jenayah dikenal pasti, kali ini membabitkan rokok seludup, susulan laporan baru-baru ini mengenai sindiket rasuah menyusup ke institusi awam dan agensi penguatkuasaan.

Presiden Persatuan Pemeriksaan Penipuan Bertauliah Malaysia, Akhbar Satar berkata, kartel rokok seludup yang mempunyai pengaruh atau rangkaian dalam agensi penguatkuasaan undang-undang negara perlu dihentikan.

Akhbar, yang pernah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, berkata kartel yang dibongkar baru-baru ini hanyalah “ikan kecil” berbanding kartel rokok haram.

“Selama bertahun-tahun, kartel rokok haram semakin berani dan menggunakan kaedah baharu untuk menyogok pegawai penguat kuasa yang tidak beretika untuk menutup jejak mereka.

“Walaupun bukan semua anggota atau pegawai penguat kuasa boleh disogok, kartel rokok haram ini bersedia menggunakan apa saja cara, termasuk ugutan, untuk mempengaruhi pegawai bekerjasama dengan mereka.”

Malaysia kini mendahului perdagangan rokok seludup di dunia, dengan enam daripada 10 rokok yang dijual di pasaran adalah haram.

Negara kerugian lebih RM5 bilion setahun dari segi kutipan cukai disebabkan penyeludupan rokok.

“Keuntungan yang dikaut kartel daripada perdagangan haram besar-besaran ini lebih daripada cukup untuk menubuhkan kartel gergasi yang membabitkan kebanyakan, jika bukan semua, agensi penguatkuasaan kita.

“Mereka tiada masalah mengupah peguam mewakili mereka di mahkamah dan membayar denda, jika mereka ditahan dengan barang seludup.”

Akhbar mencadangkan rombakan agensi penguatkuasaan secara berkala.

“Sistem penggiliran kakitangan yang berkesan perlu dilaksanakan di kawasan berisiko tinggi berlaku rasuah seperti pelabuhan, lapangan terbang dan sempadan di darat.”

Katanya, kerajaan juga perlu melakukan kajian mendalam terhadap rantaian bekalan, termasuk (tetapi tidak terhad kepada) syarikat perkapalan, ejen penghantar, ejen kastam dan pengimport untuk mengenal pasti sebarang kelemahan.

“Kerajaan juga perlu mengkaji penambahbaikan kemudahan dengan teknologi terkini seperti pengimbas canggih dan CCTV di semua pintu masuk serta keluar.”

Akhbar berkata, ia juga penting untuk membuat perubahan dasar bagi menangani punca berlaku perdagangan haram dan ia boleh dilakukan dengan memperkasakan agensi penguatkuasaan tempatan serta menggalakkan penjawat awam bekerja bersungguh-sungguh.

Mac lalu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador, mendedahkan polis membongkar sindiket penipuan yang diketuai pelarian Nicky Liow Soon Hee, susulan penahanan 68 suspek, termasuk dua individu bergelar Datuk Seri dan enam Datuk.

Katanya, 34 pegawai daripada agensi penguatkuasaan turut terbabit.

SPRM turut membongkar satu kartel tender kerajaan dengan penahanan lapan individu minggu lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.